10 peratus penyokong dari kapasiti stadium

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan mengusulkan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan penyokong ke stadium pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan cadangan itu diusulkan oleh wakil rakan kongsi dalam mesyuarat rakan kongsi liga kali ke-4, di sini, hari ini yang mahu penyokong berskala kecil dibenarkan masuk ke stadium.

Katanya, bagi peringkat awal ini pihaknya akan mengemukakan cadangan 10 peratus penyokong dari kapasiti stadium dibenarkan masuk dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita terima usul daripada ahli gabungan yang sebulat suara bertegas meminta MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan) memberi kemasukan berskala kecil penyokong Liga M musim depan.

“Kita pun sudah bawa kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan akan bawa secara rasmi ke MKN. Jumlah awal yang yang kita bincangkan adalah 10 peratus (penyokong dari kapasiti stadium).

“Perkara ini akan membabitkan banyak perkara termasuk kemeriahan Liga M dan penajaan. Kita pergi kepada skala kecil dahulu dan akan tingkatkan dari satu tahap ke satu tahap,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

sumber : BH

Sebelum ini BH Sukan melaporkan penyokong harus dibenarkan masuk ke stadium kerana ia turut membabitkan kesan besar kepada pasukan terutama dari aspek pendapatan hasil jualan tiket dan menarik keyakinan penaja.