5 Pasukan Liga M sudah menyerahkan dokumen Pertukaran Status

KUALA LUMPUR: Hanya lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang sudah menghantar dokumen kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi proses penswastaan atau pertukaran dari persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang turut menjelaskan pasukan lain sedang berusaha untuk melengkapkan proses itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama lima pasukan terbabit yang sudah menyerahkan dokumen sebelum tarikh akhir untuk berbuat demikian pada 30 September depan.

“Semua pasukan ketika ini berada dalam dua proses yang mana proses pelesenan hingga 31 Ogos dan penswastaan pula hingga 30 September.

“Bagi proses penswastaan, lima pasukan pasukan sudah melengkapkan proses awal iaitu mengemukakan dokumen kepada kami. Namun saya tidak boleh menyebut nama pasukan terbabit.

“Saya percaya pasukan lain juga sedang berusaha keras untuk melengkapkan proses penswastaan ini,” kata Stuart kepada BH Sukan.

BH Sukan difahamkan lima pasukan terbabit adalah juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) selain Sarawak, PJ City, Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, Stuart menjelaskan proses penswastaan tidak hanya membabitkan pembelian atau pengambilalihan pasukan oleh pihak luar daripada persatuan negeri.

Sebaliknya, persatuan negeri juga boleh menukar status kepada swasta dengan menubuhkan syarikat bagi menguruskan pasukan.

sumber : BH

Katanya, beliau akan memberikan penjelasan secara terperinci pada sesi taklimat bersama media esok bagi menjelaskan topik semasa termasuk mengenai proses pemisahan dari FA ke FC dan pelesenan kelab.