Ahli Politik bakal memanaskan kongres FAM ke 57

Beberapa calon ahli politik dijangka turut memanaskan pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Ke-57 yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mac depan.

Meskipun belum ada mana-mana pihak yang tampil mengumumkan secara rasmi pencalonan tokoh-tokoh tertentu, namun difahamkan kemungkinan terdapat ahli politik yang akan dicalonkan oleh ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut sumber, ketika ini terdapat khabar angin yang mengaitkan nama tokoh tertentu untuk merebut jawatan penting di Wisma FAM.

“Setakat sekarang suasana pemilihan calon masih lagi tenang. Masing-masing termasuk Exco (Jawatankuasa Eksekutif FAM) sekarang pun lebih memilih berdiam diri dan berhati-hati.

“Cuma yang sudah suarakan keinginan untuk pertahankan kerusi dua orang saja iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) dan Datuk Mohd Yusoff Mahadi (Timbalan Presiden FAM).

“Lain-lain masih senyap, mungkin nak tengok dulu sokongan dari ahli gabungan sebelum tampil nyatakan pendirian.

“Cuma difahamkan ada ahli politik yang dicalonkan kali ini. Tak tahu dari PH (Pakatan Harapan) ataupun PN (Perikatan Nasional),” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebanyak 17 kerusi bakal menjadi rebutan pada Kongres FAM Ke-57 bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal baharu 2021-2025.

Dalam pemilihan kali ini, 17 tempat ditawarkan iaitu seorang Presiden, dua orang Timbalan Presiden, empat orang Naib Presiden dan 10 orang Exco (termasuk dua kerusi yang diperuntukkan khas untuk wanita).

Begitupun, untuk bertanding jawatan Presiden, calon mestilah mendapat minimum enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM seperti mana yang terdapat dalam artikel 27 (4) Statut FAM.

Manakala, jawatan Timbalan Presiden memerlukan minimum lima pencalonan, jawatan Naib Presiden memerlukan minimum empat pencalonan sementara jawatan Exco memerlukan minimum 2 pencalonan.

Tarikh tutup penghantaran borang pencalonan pula adalah selewat-lewatnya jam 5.30 petang pada 11 Februari ini.

Pada pemilihan lalu, Hamidin dilantik sebagai Presiden FAM ketujuh bagi baki penggal 2017-2021 untuk menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Kongres FAM ke-54.

sumber : HM

Bekas Setiausaha Agung FAM itu menang tanpa bertanding selepas pencabarnya yang juga ahli politik, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi membuat keputusan menarik diri.