Aidil sharin simpan rahsia

Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak memiliki perancangan tersendiri menghadapi skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi aksi pembukaan Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah untuk perlawanan Sumbangsih Jumaat ini.

Di sebalik persiapan rapi yang dilakukan, ketua jurulatih itu bagaikan menyimpan rahsia yang bakal digunakan pada perlawanan Sumbangsih yang menjadi tumpuan rebutan piala di awal musim ini.

Kehadiran ‘jeneral baharu’ Kedah Rabih Ataya yang menyertai Kedah musim ini ternyata memberi ‘suntikan’ baharu untuk jentera serangan sementara kewibawaan dua import penyerang Kpah Sherman dan Kipre Tchetche dilihat cukup berkeyakinan untuk memulakan liga pada musim ini.

Melalui lima perlawanan pramusim yang diatur bermula 19 Februari hingga 27 Februari sebelum ini juga tidak banyak perkara dapat dilihat apabila semua perlawanan itu berlangsung secara dalaman dan tertutup oleh media.

Menyentuh mengenai perubahan yang dilakukan KDA FC pada musim ini, pastinya tertumpu pada jentera tengah yang turut menampilkan import kuota Asean M Anumanthan selain dua pemain sayap tempatan Syazwan Zainon dan Faizat Ghazli yang dilihat bakal memberi sokongan tambahan buat barisan tengah dan turut diperkasakan oleh ketua pasukan Baddrol Bakhtiar.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak, skuadnya mahu turun dengan penuh semangat bagi memastikan Piala Sultan Ahmad Shah menjadi milik Kedah pada musim ini.

“Namun kita tetap menganggap Kedah sebagai pasukan bukan pilihan atau ‘underdog’ apabila berdepan JDT di tempat lawan jumaat ini.

“Dengan segala persiapan dilakukan sebelum ini biarlah ia menjadi strategi yang kita simpan sehingga hari perlawanan itu nanti.” katanya.

Kedah pernah beraksi lapan kali pada perlawanan Sumbangsih iaitu pada tahun 1991, 1994, 1997, 2008, 2009, 2017, 2018 dan 2020.

Secara rekod, Kedah menjuarainya pada 1991, 1994 dan 2017, manakala JDT pula memenangi lima kali pada 2015,2016, 2018, 2019 dan 2020.

sumber : HM

Dalam tiga pertembungan terakhir Kedah FA dan JDT FC dalam aksi pembukaan Piala Sultan Ahmad Shah musim 2017,2018 dan 2020, JDT merangkul dua kali kejuaraan manakala Kedah satu kejuaraan.