Akhirnya menemui titik perdamaian

Perselisihan faham antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhirnya menemui titik perdamaian hari ini.

Kemelut yang berlanjutan hampir seminggu lebih diselesaikan dalam suasana harmoni menerusi pertemuan di Wisma FAM.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik oleh FAM menyaksikan beberapa isu berjaya dirungkai.

“Satu sesi perbincangan yang diatur oleh FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini diharap berjaya menyelesaikan isu membabitkan FAM, MFL dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham.

“Perbincangan lebih sejam itu dihadiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam serta Norizam sendiri yang turut disertai wakil dari Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) diketuai naib presidennya, Ahmad Muzakkir Hamid,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila Norizam mempersoalkan di mana bayaran hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M) serta elaun pengadil yang belum dibayar.

Beliau turut mempersoalkan FAM mengeluarkan kenyataan Kelantan FC akan dipotong tiga mata dalam Liga Perdana musim ini jika KAFA gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.

FAM bagaimanapun menafikan kenyataan itu, selain membidas pemilik Kelantan FC itu kerana ‘meny3rang’ mereka tanpa memeriksa ketepatan laporan media.

Malah, pada masa sama, beliau turut melepaskan segala terbuku di hati termasuk memaklumkan tidak pernah menerima bayaran hasil kutipan tayangan atas talian MyCujoo.

sumber : HM

Katanya, perkara terbabit sudah diajukan kepada MFL untuk mendapatkan penjelasan lanjut namun setakat ini masih belum ada sebarang jawapan bertulis termasuk laporan audit MFL yang diterima oleh Kelantan FC.