Akui dapat tawaran lain

Ke mana hala tuju pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak selepas membawa pasukan itu menjadi naib juara Liga Super dan layak beraksi di Piala AFC 2021?

Jurulatih dari Singapura itu mengakui dia terbuka dengan beberapa tawaran daripada pasukan lain ketika ini namun menegaskan hatinya masih lagi bersama Kedah dan bersedia ‘duduk semeja’ dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk berbincang mengenai masa depanya.

Jelasnya, apa yang penting adalah dia berada dalam persekitaran yang memiliki organisasi yang baik dan ada visi sekali gus mampu membantu perkembangannya sebagai jurulatih muda.

“Saya akan bertemu dengan KFA secepat mungkin dan kita lihat apa yang terbaik. Seperti yang saya sudah katakan sebelum ini, hati saya sentiasa bersama Kedah dan saya sayangkan pemain, penyokong dan kakitangannya.

“Boleh dikatakan hati saya 90 peratus di Kedah tetapi kita masih lagi perlu berbincang kerana saya perlu tahu perancangan pasukan untuk musim depan dan juga musim yang berikutnya.

“Ini penting untuk masa depan saya dan sebab itu saya perlu tahu mengenainya. Jadi kita perlu ada kombinasi yang baik untuk bersetuju antara satu sama lain dan mungkin kita boleh teruskan.

“Sebagai jurulatih, apabila anda buat dengan baik, semua orang mahukan anda tetapi bila tidak menjadi, semua orang mahu singkirkan anda. Sebagai profesional, saya mahu pilih yang terbaik dan Insya-Allah, saya akan dapat yang terbaik,” katanya.

Sumber : BH

Untuk rekod, Aidil yang mendapat julukan sebagai ‘Pep Guardiola Singapura’ itu dilantik sebagai jurulatih skuad Lang Merah bagi musim 2019 untuk menggantikan pengendali sebelum itu, Nidzam Adzha Yusoff.