Akui Safawi perlu kerja keras ‘singkirkan’ Arif Aiman – Benjamin Mora

Kecederaan dialami peny3rang sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid tanpa diduga membawa rahmat kepada bintang muda meningkat naik Arif Aiman Hanapi.

Sekelip mata, dia memenangi hati penyokong bolasepak tanah air dengan aksi memukau, sehinggakan Benjamin Mora sendiri mengakui apabila Safawi Rasid kembali dari kec3deraan, dia perlu bekerja keras menyingkirkan Arif Aiman dari kesebelasan utama.

“Safawi sudah mula menjalani latihan dan sedang berusaha kembali berada di tahap kecergasan memuaskan selepas pulih daripada kecederaan dan dia perlu bekerja keras merampas semula posisinya dari Arif Aiman.

“Itu merupakan persaingan sihat dalam kalangan setiap pemain di JDT, mereka tahu untuk berada dalam kesebelasan utama, setiap pemain harus ada kesungguhan dan mampu berdaya saing dengan rakan sepasukan untuk rebut tempat kesebelasan utama.

“Setiap kali dalam sesi latihan, mereka beri yang terbaik dan itu rahsia utama JDT meraih kemenangan kerana mereka tahu latihan dilaksanakan untuk mencapai objektif, tahu mengenai sistem yang dipraktikkan,” kata Benjamin Mora.

Sebagai rekod, Safawi Rasid yang merupakan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018 dan 2019 mengalami kecederaan lutut ketika menentang Uitm FC pada 13 Mac lalu, tetapi bernasib baik ia bukan Anterior Cruciate Ligament.

Dia tidak bermain dalam lima perlawanan selepas itu dengan tempatnya diisi Arif Aiman, dan pemain berusia 18 tahun itu ternyata tidak gugup lantas membuktikan dia mampu menyerlah di pentas Liga Super menerusi permainan cukup meyakinkan.

Arif Aiman telah mencetak dua jaringan dan satu assist sepanjang mengisi kekosongan ditinggalkan Safawi Rasid, dan setiap kali mendapat bola dia mencetus situasi berbahaya di kawasan penalti lawan.

Baru-baru ini Tan Cheng Hoe juga menyatakan pemain ini berada dalam perhatian untuk dipanggil ke kem latihan Harimau Malaya yang seterusnya.

Sementara itu, mengenai aksi seterusnya menentang Sri Pahang yang mana JDT dijangka tidak bermasalah mencatat kemenangan di Stadium Darul Makmur, Benjamin Mora menepis tanggapan tersebut dengan menyatakan bahawa skuad Dollah Salleh itu tetap berbahaya meskipun mengharungi prestasi suram dan sedang bergelut di zon penyingkiran.

Dia percaya setiap pasukan yang turun menentang JDT ada taktikal dan strategi tersendiri justeru menekankan pemainnya tidak boleh mengambil mudah cabaran Sri Pahang yang pastinya akan cuba bangkit selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut.

Sri Pahang musim ini hanya mencatat satu kemenangan dalam lapan perlawanan dan ia rekod terburuk mereka dalam sejarah beraksi di Liga Super.