Bakal dapat dua import baharu

Biarpun masih berdepan isu kewangan, namun itu tidak menghalang Perak daripada mencari dua pemain import bagi memperkuatkan pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali mendedahkan perkara itu ketika ditanya mengenai usaha untuk memantapkan Bos Gaurus apabila jendela perpindahan kedua dibuka bulan depan.

“Kami sudah mengenal pasti dua calon dan rundingan sedang diadakan dengan ke­dua-dua pemain itu,” kata ­Rizal tetapi tidak mendedahkan identiti pemain tersebut.

Perak masih mempunyai dua kekosongan walaupun memiliki empat import iaitu Shakir Hamzah, Leandro Dos Santos, Guilherme de Paula dan Raianderson Da Costa Morais atau Careca.

Ini kerana De Paula sudah mendapat taraf tempatan sebagai pemain naturalisasi Malaysia.

Walaupun tidak menyatakannya tetapi berdasarkan situasi semasa skuad Yob dijangka mengambil khidmat seorang pertahanan dan seorang striker kerana dua bahagian tersebut dianggap tidak mantap.

Menurut Rizal, persetujuan untuk melengkapkan kuota import pasukan dibuat dalam mesyuarat pengurusan pasukan kelmarin.

Rizal turut menafikan Perak akan melantik ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Chong Yee Fatt.

Tidak benar Yee Fatt akan digantikan. Perkara itu tidak ditimbulkan.

“Saya tidak tahu dari mana berita tersebut diperoleh,” ­katanya mengulas berita yang tular dalam Facebook sebuah kelab peminat.