Bakal Import terbaharu JDT

Salah satu media sukan dari Brazil, Opovo Online mendedahkan striker yang beraksi bersama kelab Brazil, Fortaleza iaitu Bergson Da Silva bakal menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut laporan media tersebut, Fortaleza turut menerima tawaran dari kelab divisyen dua Brazil. Namun mereka lebih berminat dengan tawaran yang diberikan oleh JDT.


JDT dilaporkan akan membayar sejumlah amaun bagi meminjam Bergson selama empat bulan selain mempunyai pilihan untuk menandatangani pemain itu secara tetap sekiranya menampilkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh pinjaman.

Bergson Da Silva menyertai Fortaleza pada Oktober tahun lalu setelah beliau beraksi bersama Ceara selama dua musim bermula pada 2019 lalu.

Bersama Fortaleza, Bergson beraksi sebanyak 14 perlawanan setakat ini dan hanya menjaringkan 3 gol serta sedikit bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Sebelum ini, JDT menandatangani striker dari Argentina, Jonathan Herrera bagi menggantikan Diogo Luis Santo yang berhijrah ke Thailand.

Namun, JDT memutuskan untuk meminjamkan Herrera ke kelab Argentina, Independiente.