Bayar atau pemain angkat kaki ke pasukan lain

Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) perlu membayar gaji pemainnya yang tertunggak sehingga 7 Februari ini jika tidak mahu hadapi risiko kehilangan pemain untuk Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Ini kerana berdasarkan kontrak terdapat klausa yang membolehkan pemain angkat kaki ke pasukan lain jika tidak menerima gaji mereka sehingga tarikh itu.

Perkara itu dinyatakan bekas Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapannya ketika mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin.

“Inilah yang saya bimbangkan berikutan keengganan Kerajaan negeri menghulur dana kepada Pafa kerana saya masih menjadi presiden.

“Saya bimbang pemain tonggak Perak akan dipancing pasukan lain. Jika itu berlaku tidak ada siapa boleh menahan mereka daripada pergi.

“Rugilah Perak kerana kita memiliki barisan pemain berwibawa yang mampu menjadi pencabar unggul dalam liga Musim ini.

“Berikutan itulah saya mengambil keputusan meletak jawatan cepat agar isu tunggakan gaji pemain dapat diselesaikan,” kata Ahmad Faizal.

Ahmad Faizal berkata, masalah kewangan Pafa muncul selepas beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar Perak sejak 5 Disember lalu.

“Sebelum ini kita mendapat sumbangan dari pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membiayai pasukan Perak.

“Namun bila sudah hilang kuasa tiada siapa sudi menghulur bantuan lagi. Minta pun orang tak mahu bagi. Telefon pun tidak jawab,” katanya.

Keadaan diburukkan lagi berikutan keengganan kerajaan negeri menghulur bantuan menyaksikan Pafa tidak dapat membayar gaji pemain dan pegawai sebanyak sebulan setengah iaitu separuh untuk bulan November dan untuk bulan Disember berjumlah kira-kira RM3 juta.

sumber : UM

Selain Ahmad Faizal, Timbalan Presiden merangkap pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah turut melepaskan jawatannya.