Bekas pemain JDT dilantik sebagai Penasihat Teknikal TRW

Usaha memperksakan Kelantan FC terus dirancakkan oleh pemilik pasukan itu Norizam Tukiman atau Zamsaham apabila melantik lagenda bola sepak negara Nasir Yusoff sebagai Penasihat Teknikal The Red Warriors (TRW).

Zamsaham berkata, perlantikan bekas pemain Johor yang terkenal dengan jolokan ‘The Professor’ itu berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Menurutnya, pemilihan itu dibuat berpandukan kepada pengalaman luas yang dimiliki oleh ‘The Professor’ dalam bola sepak.

“Selain itu, beliau juga (The Professor) akan memainkan peranan untuk pembangunan pasukan diperingkat akar umbi.

“Saya cukup optimis beliau mampu menggalas tanggungjawab untuk membantu lonjakkan lagi Kelantan FC ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

sumber : UM

Zamsaham memberitahu, khidmat The Professor turut ditagih untuk membantu TRW mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini.