Berpotensi mendapat Status Naturalisasi – FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui memantau Lee Tuck dan beberapa pemain import lain dalam Liga Malaysia (Liga M) yang berpotensi mendapat status naturalisasi.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, selain Tuck, beberapa lagi awang import seperti tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera yang akan memenuhi syarat beraksi lima tahun di negara ini musim depan.

Yusoff bagaimanapun menegaskan bahawa memenuhi syarat yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu bukan jaminan buat mana-mana pemain akan mendapat status nanturalisasi dan boleh beraksi bersama skuad kebangsaan.

Sebaliknya, beliau berkata pihak jawatankuasa akan membuat penilaian rapi dan hanya mempertimbangkan jika ada pemain yang benar-benar memenuhi kriteria penting terutama dari aspek prestasi, posisi yang diperlukan dan juga faktor usia.

Bukan Lee Tuck saja, ada beberapa pemain lagi yang akan cukup lima tahun musim depan seperti di Perak (Leandro Dos Santos) dan JDT (Cabrera). Apa pun bergantung kepada pemain itu, kalau dia cukup lima tahun pun, tapi jika faktor usia dan prestasi kurang baik tak boleh juga.

Kita tengok pada keperluan, kalau kata ada pemain yang cukup lima tahun dan berusia 27 tahun, sudah tentu kita lebih utamakan yang umur 27 tahun.

Tapi bergantung pula kepada posisi, jadi banyak faktor yang kita perlu ambil kira posisi mana yang kita nak kuatkan dan juga aspek usia. Sudah pasti kita nak pemain yang lebih muda supaya lebih lama kita boleh guna khidmat dia untuk negara.

Kita sudah minta pihak sekreteriat untuk memantau pemain yang cukup lima tahun musim depan. Jadi pihak sekretariat akan buat cadangan dan jawatankuasa akan membuat penilaian rapi jika ada pemain yang memenuhi kriteria yang kita tetapkan untuk mendapat status naturalisasi, katanya kepada BH Sukan, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan Tuck berpeluang menjadi pemain naturalisasi negara selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi apabila mengesahkan akan terus beraksi di Liga M musim depan.

Tuck, Cabrera dan Leandro beraksi dalam Liga M sejak 2017 dengan aksi yang boleh dikatakan cemerlang, namun mungkin faktor usia yang perlu dipertimbangkan FAM apabila masing-masing akan berusia 33, 32 dan 35 tahun musim depan.

Pemain muda dari Colombia yang beraksi bersama Melaka, Romel Morales dilihat calon paling sesuai untuk mendapat status naturalisasi, tetapi pemain berusia 23 tahun itu masih perlu beraksi dua musim lagi di Liga M untuk memenuhi syarat lima tahun ditetapkan FIFA.

sumber : BH

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff menjelaskan belum ada perkembangan daripada FIFA mengenai permohonan FAM mendapatkan status naturalisasi Guilherme De Paula.