Pergi cari pasukan untuk diurus atau main layang-layang

Teguran bekas pemain kebangsaan Khalid Ali berhubung etika pemakaian beberapa jurulatih Liga Malaysia yang disifatkannya tidak melambangkan jurulatih liga profesional, nampaknya mendapat perhatian ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Aidil Shahrin Sahak.

Khalid Ali sebelum ini meluahkan rasa kecewa melihat ada jurulatih memakai jeans lusuh ketika perlawanan, sambil menegaskan penampilan sedemikian memberi gambaran buruk mengenai Liga Malaysia.

Walaupun dia tidak menyebut mana-mana nama, tetapi teguran itu dilihat ditujukan kepada Aidil Shahrin, apabila dia menyebut situasi itu disaksikannya ketika perlawanan Selangor dan Kedah.

Aidil Shahrin apa lagi, takkan mahu berdiam diri apabila diperlekeh? Ini respon jurulatih dari Singapura itu.

“Ada nampak apa-apa yang salah tak dia memakai jeans”, tulisnya sambil memuatnaik gambar Pep Guardiola (pengurus Manchester City) mengenakan jeans ketika perlawanan.

“Adakah ini bermaksud dia berada di Liga Kampung? Lebih baik awak jaga kain sendiri daripada bercakap tentang orang lain,” tambahnya.

Dan kemudiannya dia memuatnaik satu lagi gambar Jurgen Klopp dengan jeans, “Seorang lagi pengurus berprofil tinggi memakai jenas ketika perlawanan Liga Juara Eropah dan awak kata ini bukan pemakaian sesuai seorang jurulatih?

“Pergi cari pasukan untuk diurus atau main layang-layang.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ghani Hassan pula berkata seluar jeans lusuh sememangnya tidak dibenarkan mengikut kod pemakaian seperti tertera dalam organisasi teknikal perlawanan (OTP) dan peruntukan ini sudah diketahui oleh semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang bertanding.

Ia sekaligus membuktikan bahawa teguran Khalid Ali ada asasnya.

Justeru itu Datuk Ghani mengharapkan setiap pasukan dapat memantau etika pemakaian setiap pegawai dan mematuhi tatacara ditetapkan.

Etika pemakaian memang ada dalam OTP di mana pegawai pasukan tidak dibenarkan memakai selipar, sandal, baju tanpa lengan ataupun jeans lusuh.

“Tetapi untuk kes seperti yang disebut (jurulatih memakai jeans lusuh pada aksi Selangor dan Kedah), saya tidak boleh ulas dengan lanjut kerana tidak tahu gambaran sebenar terhadap apa yang dipakai.

“Saya akan mendapatkan laporan daripada komisioner perlawanan itu untuk mengetahui perkara itu dengan lebih lanjut,”