Cecah RM80,000 khalid lanjutkan tempoh bidaan

Bekas peny3rang berbisa Perak, Khalid Jamlus membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh bidaan trofi Kasut Emas yang dimenanginya ketika muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Satu 2002 sehingga Ahad ini.

Biarpun tidak mengadakan sesi lelongan menerusi laman Facebook peribadinya, Khalid, 43, masih tetap ‘membuka’ peluang kepada pembida lain sebelum menunggu tawaran terbaik dalam tempoh beberapa hari lagi.

Menurut Khalid, bidaan terhadap trofi Kasut Emas itu semakin meningkat sehingga mencecah RM80,000 berbanding pada awal lelongan dibuat yang hanya mencatatkan jumlah sebanyak RM10,500.

“Sebelum ini, memang saya tetapkan sehingga hujung minggu ini (semalam) sahaja. Tetapi saya telah ambil keputusan untuk melanjutkan tempoh bidaan Kasut Emas itu sehingga Ahad ini.

“Saya sendiri akan umumkan pemenang bagi bidaan Kasut Emas itu menerusi laman Facebook saya pada malam itu juga tetapi identiti pemenang akan dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

“Apa yang boleh saya katakan, kebanyakan pembida trofi Kasut Emas itu datangnya dari luar Perak. Ada orang Kelantan, ada orang Sabah dan terbaharu dari Sarawak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Khalid memberitahu, buat masa ini dia tidak akan mengadakan sesi siaran langsung dalam laman Facebook sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

“Setelah berjumpa dengan Timbalan Menteri (Wan Ahmad Fayshal) minggu lalu, saya diminta untuk menghentikan seketika sesi live di laman Facebook. Saya juga telah mengikuti saranan beliau untuk bertemu dengan seseorang berkaitan dengan soal kerja.

“Memang saya dah jumpa dengan orang itu, cuma saya masih belum buat apa-apa keputusan kerana ia melibatkan keluarga. Saya perlu mengambil beberapa pertimbangan sebelum membuat keputusan,” jelasnya.

Rabu lalu, Khalid telah dijemput untuk mengadakan pertemuan dengan Wan Ahmad Fayshal bagi membincangkan kemelut yang dihadapinya ketika ini.

Beberapa hari sebelum pertemuan itu berlangsung, Khalid telah mengejutkan seluruh peminat sukan tanah air khususnya penyokong bola sepak apabila dia membuat keputusan untuk melepaskan trofi Kasut Emas serta beberapa barangan peribadinya seperti jersi, medal dan poster.

sumber : SH

Difahamkan, tindakan Khalid berbuat demikian bagi meneruskan kelangsungan hidupnya ekoran masalah kewangan selepas dia tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak tiga tahun lalu.