Dalam Tempoh seminggu, Nama Jadi tumpuan

PEMAIN naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh menjadi pemain bola sepak Malaysia paling glamor dalam tempoh kira-kira seminggu lalu.

Boleh dikatakan nama pemain ini antara bahan berita paling laris dan sensasi di segenap laporan sukan dalam negara susulan isu dengan bekas pasukannya, Pahang dan penyertaannya ke pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengarahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membayar kira-kira RM4.9 juta kepada Sumareh menyebabkan namanya menjadi tumpuan.

Apa tidaknya, angka itu dianggap jumlah paling besar ‘dimenangi’ pemain Malaysia, sekali gus ada yang melabel pemain berusia 26 tahun itu sebagai ‘jutawan segera’.

Hanya kira-kira tiga hari selepas berita hukuman FIFA ke atas PBNP tersebar, pengumuman JDT bahawa Sumareh kini sah milik mereka menambahkan lagi berita sensasi mengenai pemain kelahiran Gambia itu.

Walaupun ramai sudah menjangkakan mengenai kemasukan Sumareh ke dalam skuad H@rimau Selatan, namun ia tetap menjadi berita yang bernilai tinggi dan melonjakkan dirinya di kedudukan teratas carta pemain Liga M paling glamor ketika itu.

Menyertai pasukan yang dianggap paling tersohor di negara ketika ini dan dipenuhi pemain berstatus bintang, ia sebenarnya menjadi permulaan yang paling mencabar buat Sumareh.

Bakal memikul harapan tinggi kelab dan penyokong, timbul juga beberapa persoalan yang mula dilontarkan beberapa pihak mengenai adakah langkah pemain itu menyertai JDT satu keputusan yang berbaloi khususnya buat kerjayanya.

Jika melihat dari aspek kemudahan fasiliti termasuk stadium dan pusat latihan berkelas dunia dimiliki JDT selain pengalaman di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan peluang cerah merangkul kejuaraan dalam Liga Malaysia (Liga M), mungkin ia berbaloi buat Sumareh.

Namun, cabaran terbesar buat Sumareh untuk memastikan perpindahannya benar-benar berbaloi ketika ini adalah jika dia boleh memikat hati barisan kejurulatihan yang diketuai Benjamin Mora untuk menempatkan dirinya dalam skuad utama.

Selaku pemain kebangsaan dan memegang status naturalisasi yang mana tujuan utama diberikan kepadanya untuk menyumbang impak penting kepada skuad H@rimau Malaya, minit permainan yang mencukupi sangat diperlukan Sumareh.

Justeru, pemain yang digelar ‘Keli Boy’ itu tidak boleh tenggelam atau banyak memanaskan bangku simpanan skuad H@rimau Selatan bagi memastikan tidak hilang kepercayaan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan cabaran Sumareh ‘melawan’ rakan sepasukan merebut tempat dalam skuad utama skuad H@rimau Selatan sebenarnya tampak lebih rumit berbanding melawan pemain pasukan lawan dalam perlawanan.

Melihat kepada senarai lengkap JDT musim ini, lawan Sumareh di sayap kanan bukan calang-calang iaitu pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) 2018 dan 2019, Safawi Rasid serta bintang muda sedang meningkat, Ramadhan Saifullah Usman.

Menyertai JDT sejak 2017 dan cukup serasi dengan posisi itu, Safawi nampaknya menjadi lawan utama Sumareh dan memiliki sedikit kelebihan dari segi pengalaman bersama H@rimau Selatan.

Sumareh juga sebenarnya boleh beraksi di bahagian kiri, namun posisi itu juga tampak sukar buat Sumareh kerana perlu berdepan dengan bintang import yang bakal melengkapkan tahun kelima bersama JDT musim ini iaitu Gonzalo Cabrera.

Tiada jalan lain buat Sumareh selain perlu ‘mengaum’ lebih kuat berbanding bintang JDT yang lain seperti Safawi apabila memasuki ‘kandang’ skuad H@rimau Selatan jika mahu berada di posisi kegemarannya itu.

Jika berjaya mengatasi barisan bintang JDT dan mencuri status ‘ayam tambatan’ Mora, barulah langkah Sumareh ke H@rimau Selatan boleh dianggap benar-benar berbaloi buat buat dirinya, H@rimau Selatan dan H@rimau Malaya.

JDT juga sudah pasti mahu membuktikan pengambilan Sumareh yang dianggap sebagai perpindahan sensasi berbaloi dan bukannya sia-sia.

Jika Sumareh tenggelam atau tidak berjaya mengikuti segala falsafah yang diterapkan dalam skuad H@rimau Selatan, ia bakal menimbulkan pelbagai kritikan pedas khususnya dari peminat bola sepak tanah air.

Apa yang pasti, pemain seperti Safawi perlu sama naik atau bersaing secara sihat bersama Sumareh kerana anak jati Dungun, Terengganu itu juga perlu berada pada prestasi terbaik untuk membantu H@rimau Malaya di pentas antarabangsa.

sumber : BH

Info:

Nama: Mohamadou Sumareh

Umur: 20 September (26)

Asal: Fajara, Gambia

Posisi: Sayap

Status Naturalisasi: 2018

Pasukan pernah disertai

2013-2015 PDRM

2016 -Perlis

2017-2020 Pahang

2020 – Police Tero FC

2021 – JDT

Pencapaian

PDRM – Juara Liga Perdana 2014

Pahang – Naib juara Liga Super 2017, 2019, Juara Piala FA 2018, Naib juara Piala FA 2017

Kebangsaan – Naib juara Piala AFF 2018

Individu – Anugerah Pemain Tengah Terbaik Liga M 2019