Datuk K. Rajagobal calon utama ketua Jurulatih

Bekas ketua jurulatih skuad negara, Datuk K. Rajagobal, mengesahkan bahawa dia sedang menjadi calon utama untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei.

Jelasnya, dia merupakan pendahulu di antara dua calon lain bagi mengisi jawatan berkenaan.

Difahamkan Persatuan Bolasepak Brunei (NFABD) terlebih dahulu membuka perbincangan bersama bekas pengendali PKNS FC itu sebelum memberikan peluang kepada jurulatih lain melakukan permohonan.

“Pada awalnya ada perunding daripada FA Brunei berjumpa saya pada Ogos lalu untuk bertanyakan sama ada saya berminat menjadi ketua jurulatih pasukan Brunei atau tidak.

“Saya katakan yang kami boleh berbincang dan perbincangan itu berpanjangan,” katanya.

Rajagobal membimbing skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF pada 2010 dan selepas kontraknya bersama Harimau Malaya tidak disambung pada 2014, dia pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi ketua jurulatih negara lain.

Meskipun Brunei dianggap pasukan kerdil di rantau Asia Tenggara, Rajagobal  yakin dia mampu membawa pasukan itu ke pusingan akhir Piala Suzuki AFF 2021.

“Baru-baru ini, pihak pengurusan Brunei FA telah melakukan temu duga dalam talian untuk melihat calon yang sesuai.

“Mereka bertanyakan soalan mengenai pendapat kami berkenaan pemain dan latar belakang pasukan Brunei.

sumber : SA

“Apa yang saya dengar, mereka akan membuat keputusan pada bulan ini dan akan melihat siapa yang akan dipilih menjadi jurulatih pasukan itu,” katanya lagi.