Deretan dua keputusan seri, Mora lega JDT kembali dapat rentak

Deretan dua keputusan seri dicatat Johor Darul Ta’zim (JDT) diakhiri dengan kemenangan 3-0 ke atas Melaka United FC (MUFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pengendali JDT Benjamin Mora tampak lega dapat mengatasi skuad kendalian Zainal Abidin Hassan selepas seri dengan Selangor FC 1-1 dan Perak FC 2-2.

“Sebelum aksi menentang MUFC, kami menilai apa yang berlaku ketika seri dengan Selangor FC dan Perak FC.

“Hasilnya kami tampil lebih bertenaga pada perlawanan menentang MUFC tatkala pemain menunjukkan karektor positif dan melupakan pengalaman pahit dua perlawanan lalu.

“Walaupun tanpa Natxo (Insa) yang digantung dua perlawanan, kelibat Hariss Harun yang konsisten di posisi tengah membantu pasukan.

“Malah pemain yang jarang diturunkan seperti Adam Nor Azlin, memainkan peranan penting di posisi pertahanan selain turut menjaringkan gol,” kata Mora.

Menurut Mora, dalam dua perlawanan lalu barisan pemainnya gagal bermula dengan baik dan kerap tidak konsisten namun pada aksi berdepan MUFC, pemain tampil dengan permainan agresif dengan mendominasi hampir 70 peratus permainan.

Penjaga gol Haziq Nadzli juga tampak tidak gugup beraksi dalam skuad utama dan bijak membaca percubaan berbahaya pasukan lawan terutama pada awal permainan.

“Tindakan Haziq menepis bola rembatan Sony (Norde) di awal minit pertama beri lebih keyakinan kepada dirinya untuk beraksi konsisten menjaga gawang JDT. Dia tunjuk kematangan di benteng terakhir JDT.

sumber : BH

“Tidak dinafikan kehadiran penyokong walaupun dalam skala kecil menyuntik lagi semangat pemain memperaga corak permainan mantap dan ia beri kesan positif terhadap pemain yang enggan mengecewakan peminat JDT,” katanya.