Dikaitkan dengan Pahang,PJ City, Kuala Lumpur dan Perak

Selepas kontraknya tidak disambung, bekas kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengesahkan belum memutuskan destinasinya musim depan walaupun sudah mendapat tawaran daripada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) dan luar negara.

Bekas ayam tambatan TFC berusia 32 tahun itu yang dikaitkan dengan Pahang, PJ City, Kuala Lumpur dan Perak mengakui masih mahu beraksi dalam saingan Liga M kerana ingin mengikut jejak pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi.

“Saya ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan Liga M dan Asia, tapi setakat ini belum lagi membuat keputusan muktamad. Hati saya masih berminat terus berada di Malaysia. Jika ada perkhabaran nanti, saya akan umumkan pasukan mana bakal sertai musim depan,” kata pemain kelahiran Halifax England itu.

Jumaat lalu pemain berdarah campuran Malaysia-England itu mengakui sedih dan berat hati meninggalkan pasukan yang diwakili selama tiga musim selepas namanya tiada dalam perancangan TFC yang bakal bersaing dalam kancah Piala AFC musim depan selain Liga M.

Sementara itu, menurut sumber, setakat ini hanya seorang sahaja pemain import daripada pasukan TFC dan TFC II musim ini hampir pasti dikekalkan musim depan manakala selebihnya masih samar.

Ini termasuk pemain TFC II, Bruno Suzuki, Dechi Marcel dan Jordan Mintah serta dua lagi import TFC iaitu Babacar Diallo dan Sanjar Shaakhmedov.

sumber : BH

“Setakat ini hanya pertahanan TFC II, Argzim Redzovic kekal bersama pasukan kerana masih ada kontrak setahun. Selebihnya belum pasti kerana kita belum ada keputusan muktamad. Jika tidak ada aral sebelum 30 November ini akan diputuskan dalam mesyuarat,” katanya.