DNA Jerman terkulai di tangan Penang FC

Kecemerlangan mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dapat diteruskan Selangor FC (SFC) apabila ‘DNA Jerman’ terkulai 2-0 di tangan Penang FC (PFC) pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Ini menyaksikan PFC di bawah kendalian Tomas Trucha yang berwajah mirip pengurus Liverpool, Jurgen Klopp itu bangkit meraih kemenangan pertama selepas gagal mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan terdahulu.

‘The Red Giants’ pula terpaksa akur terus keciciran mata demi mata dengan satu-satunya kemenangan yang diraih mereka pada musim ini adalah pada aksi pertama ketika menentang Sri Pahang FC.

PFC hampir mendahului pada minit ke-35 namun tindakan Casagrande yang ‘meluncurkan’ badannya selepas percubaan Sheriddin Boboev ditepis Khairul Azhan Khalid sekadar hinggap di tiang sekalipun gawang terbuka.

Namun pemain sayap lincah, Al-Hafiz Harun menghadirkan keceriaan buat PFC selepas percubaannya pada minit ke-37 tidak mampu diselamatkan Khairul Azhan sekali gus membolehkan mereka mendahului 1-0.

SFC tampil lebih garang pada babak kedua menerusi beberapa percubaan yang dilakukan menerusi kuisan menggunakan tumit oleh Ifedayo Olusegun tidak mengena pada minit ke-51 disusuli percubaan leret Safuwan Baharudin yang gagal menemui sasaran tujuh minit berselang.

sumber : BH

Tuan rumah terpana pada minit ke-73 apabila tendangan Khairul Azhan yang cuba mengeluarkan bola tidak berjaya dan dipintas Danial Ashraf Abdullah yang menyudahkannya ke dalam gawang kosong untuk PFC selesa 2-0.