Elak ‘kluster bola sepak’, batalkan saingan Piala Malaysia

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad menggesa saingan Piala Malaysia musim ini dibatalkan.

Menurutnya, tindakan itu langkah terbaik yang boleh diambil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan perkembangan kes C0v!d-19 yang kian melonjak dan selepas kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, pembatalan saingan tertua di Asia Tenggara itu boleh dianggap sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak ris!ko wujudnya ‘kluster bola sepak’ yang sudah pasti akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Memang ini satu keadaan yang luar biasa untuk melangsungkan aksi bola sepak ketika pandemik dan sebelum ini, MFL berjaya membuat beberapa pengubahsuaian sehingga saingan Liga Super dapat ditamatkan dengan lancar.

“Tetapi mengambil kira perkembangan semasa yang pasti menimbulkan kerisauan semua pihak, saya berpendapat adalah lebih wajar kalau Piala Malaysia musim ini dapat dibatalkan walaupun ini adalah satu keputusan yang sukar untuk dilakukan.

“Tambahan pula, tidak ada jaminan untuk PKPB yang disambung akan ditamatkan dua minggu lagi. Jadi perkara seperti ini khususnya membabitkan kebajikan dan kesihatan pemain perlu menjadi pertimbangan MFL.

“Kita pun bimbang kalaulah berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada pemain bola sepak, perkara ini akan memberi kesan kepada semua pihak yang terbabit. Untuk mengelak ini daripada terjadi, mungkin lebih baik kita batalkan sahaja,” katanya.

Terdahulu, badan pengendali liga itu mengesahkan perjalanan Piala Malaysia akan diteruskan seperti dijadualkan walaupun kerajaan melanjutkan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 9 November ini.

Perkembangan ini, menyaksikan nasib Piala Malaysia menjadi persoalan selepas pusingan pertama membabitkan 16 pasukan akan berlangsung pada 6, 7 dan 8 November.

sumber : BH

Namun Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan pihaknya belum bercadang membatalkan saingan terbabit dengan merancang empat pasukan Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur, PJ City dan UiTM FC – yang layak beraksi, bermain di gelanggang luar Lembah Klang.