‘Facilities’ mengikut spesifikasi FIFA

Pemilik pasukan Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamburger berhasrat mahu membina pusat latihan khas The Red Warriors (TRW) bertaraf antarabangsa bagi mengembalikan semula kegemilangan pasukan itu.

Zamburger, berkata pusat itu akan dilengkapi gimnasium, bilik pemulihan pemain, lampu limpah, kafeteria dan padang mengikuti spesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dijangka menelan kos antara RM5 juta hingga RM10 juta. 

Katanya, beliau kini sudah mengenalpasti tiga lokasi di Kota Bharu dan sekitar untuk membina pusat berkenaan yang dijangka dilaksanakan sebaik semua proses rundingan dibuat. 

“Pembinaan pusat latihan ini antara langkah pertama saya selepas mengambil alih pasukan Kelantan, kita mahu wujudkan pusat ini supaya pemain dapat berlatih di satu kawasan khas hari-hari, lengkap dengan kemudahan seperti bilik pemulihan, tempat mandian ais dan lampu limpah untuk persiapan musim 2020/21 walaupun untuk saingan musim ini kita ada baki perl@wanan tiga lagi permainan. 

“Benda (kemudahan) nampak perkara kecil tapi sebenarnya sangat penting untuk persediaan pemain dan pengurusan, malah kalau boleh kita harap dapat buat padang latihan berbumbung, padang sintetik namun semua ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran jersi baru pasukan TRW di Sudara Beach Resort, di sini, malam tadi. 

Zamburger berkata, beliau turut mendapatkan pandangan pengurusan terutamanya ketua jurulatih, Yusri Che Lah dalam pembinaan pusat berkenaan. 

“Saya tidak berniat hendak cat semula stadium atau perkara yang tidak penting sebaliknya kita lebih fokus kepada keperluan pemain dan pengurusan, contohnya kita akan adakan kerjasama dengan Fakulti Sains Sukan bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dari teknik dan taktikal.

“Malah, saya juga ada perjumpaan dengan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) I untuk dapatkan tips dan pandangan beliau kerana pasukan Johor, Melaka antara pasukan bola sepak yang bagus berbanding Kelantan yang banyak ketinggalan. 

“Jadi, ini sebahagian usaha awal saya untuk meletakkan Kelantan sebagai pasukan terbaik bola sepak negara, dan kalau boleh mengembalikan rekod juara seperti sebelum ini,” katanya. 

Sementara itu, malam tadi, Zamburger turut melancarkan tiga jersi rasmi pasukan bola sepak itu yang kini dikenali sebagai TRW Kelantan FC dengan warna merah sebagai jersi tuan rumah (home) dan warna hitam sebagai jersi perlawanan (away). 

Katanya, pelancaran jersi baru itu dibuat atas permintaan peminat walaupun sebelum ini Kelantan sudah melancarkan jersi sebanyak dua kali, tahun ini. 

“Saya keluarkan jersi terbaru Kelantan selepas 20 hari mengemudi Kelantan sebagai penghargaan kepada peminat dan nafas baru kepada TRW, jersi ini boleh didapati di aplikasi Shopee dan dijual di stadium setiap kali ada perl@wanan. 

sumber : BH

“Harga jualan sangat mampu milik antara RM69 bagi versi peminat dan RM99 versi pemain, bagi jersi sebelum ini pula pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah selesaikan dengan pihak berkaitan sebelum saya mengambilalih Kelantan,” katanya.