FAM beri tempoh lanjutan, KFA menarik nafas lega

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menarik nafas lega apabila diberi tempoh lanjutan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi melengkapkan dokumen untuk proses pelesenan kelab.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya mengemukakan rayuan terhadap tarikh akhir penyerahan dokumen berkenaan yang sepatutnya diselesaikan esok.

“Urusan penyerahan dokumen kini dalam proses, dan kita diberi tempoh lanjutan sedikit, dimana saya telah merayu kepada FAM untuk diberi tempoh lanjutan yang mana sepatutnya kita selesaikan perkara itu esok.

“Tempoh lanjutan itu FAM akan maklumkan dan diberi keizinan. Saya ucap terima kasih kepada FAM yang memahami situasi dan saya difahamkan bukan Kedah sahaja, tapi banyak lagi negeri lain yang tidak dapat melengkapkan dokumen itu.

“Sebenarnya dokumen itu telah 98 peratus selesai, tinggal lagi kita perlu membuat bayaran penuh kepada tunggakan berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sanusi berkata KFA berhadapan tunggakan yang tinggi membabitkan jumlah tuntutan berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Kes3lamatan Sosial (PERKESO).

“Kita ada tunggakan yang banyak, dimana tanggungan berkaitan LHDN yang belum di tuntut secara rasmi, namun tanggungan kepada KWSP telah dituntut, dan kita telah susun jadual pembayaran berkenaan.

sumber : BH

“Tanggungan melibatkan PERKESO pula kita telah bayar dan tanggungan gaji pun kita sudah bayar separuh, cuma ada sedikit lagi dan kita sedang usaha untuk lunaskan semua itu. Ada juga negeri yang terhutang tapi tak sebanyak kita (Kedah), ada negeri yang terhutang dua juta, tiga juta, tapi kita berjumlah sepuluh juta,” katanya.