Sukan

FAM buat keputusan Tepat – B Sathianathan

PELANTIKAN Datuk Ong Kim Swee selaku Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat sebagai satu tindakan tepat berdasarkan kepada pengalaman dalam bidang kejurulatihannya sebelum ini.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, FAM membuat keputusan tepat memilih Kim Swee yang cukup mengetahui ‘asam garam’ bola sepak Malaysia.

Menurut Sathianathan, pengalaman Kim Swee ketika mengemudi skuad negara di peringkat remaja sehingga diberi kepercayaan membimbing H@rimau Malaya sudah cukup bagi menilai kredibiliti bekas pemain kebangsaan itu.

“Pertama sekali, pelantikan beliau (Kim Swee) itu adalah satu kebanggaan kepada jurulatih tempatan kerana beliau sememangnya layak. Ini kerana beliau pernah bawa (melatih) pasukan muda dan senior kebangsaan dan tahu selok belok kedudukan pelan induk FAM.

“Selain itu, beliau sudah tentu tahu apa yang patut dibuat dengan pasukan kebangsaan kerana dari segi pembangunan, beliau lebih arif tentang pembangunan pemain-pemain muda.

“Malah, beliau juga pernah menjadi pembantu kepada bekas Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo. Ini semua perlu diambil kira kerana kita tidak mahu sembarangan individu menggalas tugas tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menerusi satu kenyataan media pada Isnin, FAM memaklumkan pelantikan Kim Swee selaku Pengarah Teknikal FAM yang baharu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 bagi menggantikan de Roo.

Kim Swee yang juga bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah era 1990-an sebelum ini menjawat jawatan selaku Penolong Pengarah Teknikal FAM merangkap Ketua Unit Belia FAM.

Kemuncak karier Kim Swee dalam bidang kejurulatihan ketika beliau membimbing skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara meraih emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar pula yakin pelantikan Kim Swee selaku Pengarah Teknikal FAM mampu memberikan sinar baharu kepada bola sepak Malaysia.

“Pada pandangan saya, beliau (Kim Swee) akan mendapat pengalaman baharu. Namun, tugas pengarah teknikal ini berat dan tidak semestinya sebagai jurulatih bola sepak kita tahu segala-galanya.

sumber : SH

“Beliau perlu tahu apa yang diperlukan dalam pembangunan dan kemajuan terkini bola sepak. Sebagai rakan seperjuangan dan rakan jurulatih, saya sedia memberikan kerjasama dan membantunya untuk pastikan bola sepak kita relevan dengan perkembangan terkini,” ujarnya.