Farizal cipta sejarah baharu peringkat Asia

Prestasi Farizal Marlias jelas mencvri perhatian Asia selepas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dicalonkan bagi kategori Penjaga Gol Terbaik – Kesebelasan Utama Sepanjang Zaman Piala AFC oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Lebih membanggakan, penjaga gol kebangsaan berusia 34 tahun itu muncul satu-satunya wakil dari Asia Tenggara apabila senarai itu didominasi oleh Pak Arab.

Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, Farizal membuktikan betapa dia sememangnya berada dalam kelas tersendiri menerusi aksi hebatnya untuk membantu skuad JDT meraih kejuaraan Piala AFC pada 2015.

Walaupun berketinggian hanya 178 sentimeter, Farizal muncul sebagai salah seorang wira JDT khususnya pada kemenangan 1-0 ke atas FC Istiklol di pentas final 2015.

Pada musim pertamanya bersama pasukan, Farizal menyelamatkan beberapa percubaan berb@haya pada aksi di Dushanbe untuk membantu JDT meraih kejuaraan Asia buat kali pertama.

Dia turut terbabit dalam tiga edisi Piala AFC yang seterusnya dan kini beraksi dalam Liga Juara Juara Asia, kata AFC menerusi laman sesawangnya.

Penyokong bola sepak tempatan boleh membuat undian untuk memilih Farizal sebagai penjaga gol terbaik di laman rasmi AFC https://www.the-afc.com/competitions/afc-cup/latest/news/introducing-afc…

Setakat jam tiga petang tadi, Farizal menghuni kedudukan keempat dengan penjaga gol dari Iraq, Fahad Talib mendahului undian apabila menerima undian sebanyak 29.53 peratus.

Calon lain termasuklah Mehdi Khalil (Lubnan), Lo’ai Al Amairaeh dan Amer Shafi (Jordan), Nawaf Al Khaldi dan Musab Al Kandari (Kuwait), Mosab Balhous (Syria) serta Mammet Orazmuhammedov (Turkmenistan).