Gugurkan Pemain Senior, Selangor bakal berwajah baharu

Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor bakal berwajah baharu musim depan dengan gabungan pemain muda dan awang import lebih berkualiti.

Ini bermakna beberapa pemain senior dalam skuad Gergasi Merah akan digugurkan atau tidak disambung kontrak bagi memberi laluan kepada perancangan terbabit demi memastikan Selangor berjaya mencapai sasaran sekurang-kurangnya mendakap satu piala dan menempah slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya mahu memberi laluan kepada pemain lebih muda terutama daripada pasukan Selangor 2 untuk beraksi bersama skuad utama.
Beliau berkata, pengguguran beberapa nama dalam skuad utama bukanlah bererti mereka tidak berkualiti cuma tidak sesuai untuk dikekalkan dalam perancangan barisan kejurulatihan pada musim depan.

“Kita mahu menguatkan lagi pasukan utama sekali gus terpaksa menggugurkan beberapa nama sedia ada termasuk sebahagian besar pemain import.

“Pada masa sama, beberapa nama pemain muda daripada skuad Selangor 2 akan dibawa masuk manakala selebihnya bergantung pada keadaan nanti.

“Pemain import pula, kita tidak akan mengambil mereka yang sudah beraksi dalam Liga Malaysia dan akan mencari yang lain iaitu dari negara Eropah,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, di sini.

Ketika ini Selangor dikatakan antara pasukan terawal melakukan rombakan dengan tidak menyambung kontrak beberapa pemain utama mereka.

Antara yang kemungkinan tidak disambung kontrak adalah Farizal Harun, Khyril Muhymeen Zambri, Zahril Azri, Anwar Ibrahim dan pemain kacukan Nick Swirad.

sumber : HM

Pemain import yang digugurkan pula adalah Rufino Segovia, Taylor Regan dan Sandro da Silva.