Gurauan sehingga menjadi isu serius

Tidak timbul soal pemain mahu meninggalkan Perak musim ini gara-gara tidak menerima dua bulan gaji.

Sebaliknya, perkara itu hanya gurauan dalam kalangan pemain khususnya Kenny Pallraj dan Shakir Hamzah.

Penjelasan itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC merangkap pengurus pasukan, Rizal Ali Naizali dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia semalam.

Menurut Rizal, pemain-pemain itu serta penjaga gol, Azri Ghani bergurau dalam Instagram mereka mahu berpindah kerana tidak dibayar gaji selama dua bulan.

Bagaimanapun katanya, ada pihak yang memetik gurauan itu hingga menjadi isu serius sejak beberapa hari lalu.

“Kenny sudah menjelaskan kedudukan sebenar perkara ini. Saya cukup kenal dia sejak mengurus pasukan Piala Presiden lagi.

“Jika dia hendak pergi dia akan berbincang dengan saya dahulu,” kata Rizal.

Rizal yang juga seorang ahli perniagaan lega  perkara itu tidak benar dan segalanya sudah selesai.

Rizal berkata, nasibnya tidak berapa baik kerana mengambil-alih entiti yang mempunyai banyak hutang lapuk yang ditinggalkan pengurusan lama.

“Perak menghadapi masalah kewangan yang teruk. Dapat duit nak kena selesaikan hutang-hutang yang ada.

“Sepatutnya tidak timbul masalah kewangan kerana Pafa menerima dana besar yang mampu menampung perbelanjaan sehingga musim depan.

Sumber : UM

“Saya tidak tahu apa gerangan yang berlaku. Itulah sebabnya gaji pemain tidak dapat dibayar mengikut jadual. Suka atau tidak saya terpaksa hadapi dan berusaha selesaikan masalah ini,” ujarnya.