Hadi Fayyadh dipinjamkan ke pasukan baharu

Peny3rang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang beraksi bersama Fagiano Okayama akan mengharungi cabaran baharu di Jepun selepas dipinjamkan ke pasukan divisyen tiga, Azul Claro Numazu untuk tahun hadapan.

Perkembangan itu diumumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu, semalam.

Keputusan untuk meminjamkan Hadi ke pasukan terbabit dibuat menerusi perbincangan antara Fagiano Okayama dan Hadi serta pihak Yakult Malaysia bagi memastikan pemain itu mendapat minit perlawanan dan lebih peluang untuk beraksi dalam saingan liga.

Selain itu, tempoh pinjaman ini pasti akan terus memberi pengalaman yang berharga kepada Hadi dalam usaha mengembangkan lagi bakatnya.

“Perbincangan diadakan antara semua pihak kerana sangat penting untuk Hadi mendapatkan minit bermain dan memberi pendedahan kepada Hadi dengan pengalaman beraksi dalam divisyen tiga Liga J.

“Saya yakin dan percaya Hadi akan dapat menyesuaikan diri serta memberikan aksi yang terbaik bersama kelab ini serta mendapat pengalaman baru di sana,” kata Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.

Sementara itu, Hadi nyata gembira dan berada dalam keadaan yang bersemangat untuk bersama pasukan baharunya itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Fagiano Okayama terutamanya kepada semua jurulatih dan rakan sepasukan. Sepanjang dua tahun di sini, saya banyak belajar dan memperbaiki diri saya sebagai pemain bola dan saya berasa amat gembira.

“Saya anggap perpisahan ini hanyalah sementara dan yang pasti saya akan kembali bersama Fagiano Okayama nanti. Saya tidak sabar untuk memulakan musim baharu saya bersama Numazu dan saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

sumber : BH

Sebagai rekod, penyerang berusia 20 tahun itu bersama Fagiano Okayama yang beraksi dalam saingan divisyen dua Liga Jepun (Liga J) sejak 2018 dan muncul pemain Malaysia pertama beraksi dalam liga profesional di negara gergasi Asia itu.