Hairan dari mana spekulasi Hafizul diperoleh

Teka-teki mengenai kedudukan penjaga gol utama Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy terjawab apabila pemain itu buat keputusan kekal bersama  Bos Gaurus bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

“Hafizul sudah tanda ta­ngan kontrak bersama Perak beberapa hari lalu, jadi tidak timbul soal dia akan berpindah,” kata Adly Shah ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Hafizul sebelum ini menc3tus kebimbangan apabila mengakui belum membuat keputusan mengenai masa depannya selepas turut menerima tawaran dari pasukan lain.

Berikutan itu, timbul spekulasi bahawa bekas ­penjaga gol kebangsaan berusia 27 tahun itu bercadang memilih haluan berbeza.

Adly Shah juga menafikan dakwaan ramai pemain Bos Gaurus akan me­ninggalkan Perak musim depan.

Beliau hairan dari mana spekulasi tersebut diperoleh kerana ternyata ia tidak betul.

“Pemain yang dikatakan hendak berpindah itu masih punyai kontrak dengan Perak.

“Jadi tidak timbul soal mereka hendak berpindah ke pasukan lain tahun hadapan,” katanya.

Antara yang disebut bakal angkat kaki adalah ketua pasukan, Shahrul Saad dan pe­nyerang, Shahrel Fikri Md. Fauzi.

sumber : UM

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, Perak sudah mendapat khidmat pemain baharu tetapi enggan mendedahkan identiti mereka.