Hampir semua pasukan berdepan isu Gaji, Bench mark gaji pemain terlalu tinggi

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan  Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu ‘menyusun’ semula industri bola sepak tanah air supaya berada di tahap munasabah dengan realiti semasa penajaan serta sumbangan terhadap arena sukan tanah air.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini hampir semua pasukan dalam negara ini berdepan isu pembayaran gaji berikutan tanda aras (bench mark) gaji para pemain, ditetapkan pada tahap terlalu tinggi.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan demi kebaikan semua pihak yang harus menerima realiti betapa industri sukan di Malaysia masih belum mampu untuk menampung perbelanjaan terlalu tinggi seperti negara maju yang lain.

“Saya dimaklumkan ada beberapa negeri mungkin terpaksa menarik diri dan ‘tumbang’ kerana tak dapat buat bayaran. Malah ada yang tak bayar gaji sejak Disember lalu.

“Kita ada masalah sebab standard penajaan dan sumbangan untuk industri bola sepak di negara ini belum sampai ke tahap tinggi. Aras gaji pemain bergerak terlalu pantas serta tidak seiring kemampuan pasukan mencari dana dengan kesanggupan syarikat-syarikat korporat membuat tajaan juga masih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau tidak bermaksud mahu melihat para pemain tidak menerima gaji pada paras rendah.

“Kita pun faham mereka bukan boleh main lama-lama kerana umur 35 atau 36 sudah dianggap ‘tua’. Tetapi di Malaysia, gaji RM70,000 atau RM80,000 sebulan terlalu mahal untuk ditanggung persatuan sukan atau syarikat yang mengelolakan pasukan setelah diswastakan.

“Kalaulah banyak pasukan ‘mati’ dan kita seorang saja yang boleh hidup kerana mampu menawarkan gaji hingga RM100,000 atau RM80,000 sebulan, kita hendak main dengan siapa? Main sama-sama sendiri sajalah dan piala juga, kita ambil semua,” katanya.

Mengulas mengenai gaji pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dikatakan tertunggak bagi Februari dan Mac, Muhammad Sanusi berkata perkara itu telah pun diselesaikan hari ini setelah pihak penaja memberi sumbangan, kelmarin.

“Apa pun saya bersyukur kerana para pemain masih mempamerkan semangat juang tinggi termasuk dengan mencatat kemenangan ke atas Selangor semalam.

sumber : UM

“Di Kedah ini, kita memerlukan hingga RM2 juta sebulan untuk membayar gaji pemain selain menampung pengurusan pasukan. Bukan mudah untuk mencari RM2 juta dalam tempoh 30 hari,” katanya.