Hantar Surat kepada Alif Syukri pelawa berunding – KFA

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah menghantar surat kepada ahli perniagaan, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bagi mempelawa beliau berunding mengenai hasrat membeli atau menaja pasukan Lang Merah.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, surat itu ditandatangani oleh beliau dan dihantar kepada hartawan itu minggu lalu.

Apa yang KFA lakukan ini menunjukkan kita serius untuk berunding dengan sesiapa sahaja dan tidak mahu ia hanya menjadi tajuk di dada akhbar semata-mata.

“Kalau beliau mahu datang secara sukarela kita ucap Alhamdulillah tapi jika beliau mahukan sesuatu yang boleh kita beri, insya Allah kita usahakan tetapi kalau yang diminta itu sesuatu yang tak boleh diberikan, kita berhenti setakat itu sajalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata pihaknya juga sudah berjumpa dengan ramai pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja.

“Ada yang positif dan ada yang senyap begitu saja tetapi kita akan tetap teruskan perjuangan memantapkan pasukan ini,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan pengasas syarikat kosmetik terkenal, DHerb Holdings itu mengakui masih berminat membeli skuad Lang Merah, sekali gus menjadi pemilik penuh pasukan Kedah seperti syarat penswastaan ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain Kedah yang menjadi negeri kelahiran isterinya, Aliff juga dikatakan sedang meneliti pasukan lain dengan kriteria utama adalah mempunyai jumlah penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Sumber : BH

Pada 2016, Aliff pernah dikaitkan untuk menaja pasukan sama namun perbincangan antara kedua-dua belah pihak akhirnya menemui jalan buntu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *