Sukan

Hanya dua pemain import dikekalkan

Hanya dua daripada empat pemain import Terengganu FC II (TFC II) musim ini dikekalkan dalam mengharungi kancah Liga Perdana musim depan.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, dua pemain yang dikekalkan ialah pemain kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic dan Jordan Mintah manakala peny3rang yang juga kapten, Bruno Suzuki dan pemain tengah kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel tidak disambung kontrak.

“Argzim yang masih berbaki setahun lagi kontrak memperagakan aksi meyakinkan di barisan pertahanan termasuk membantu pasukan Terengganu FC (TFC) layak ke Piala AFC musim depan.

“Begitu juga dengan Mintah yang berjaya menarik perhatian pihak pengurusan untuk mengekalkan pemain kelahiran Ghana itu, harapan kita agar dua pemain itu mampu beraksi lebih baik musim depan.

“Buat Suzuki dan Marcel, terima kasih atas kerjasama dan khidmat bersama pasukan sebelum ini, semoga pemain berkenaan mendapat tawaran daripada pasukan lain musim depan,” katanya.

Terdahulu TFC Sdn Bhd melepaskan semua lima pemain import pasukan utama, TFC musim ini termasuk kapten, Lee Tuck sekali gus bakal menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain itu bakal berwajah baharu musim depan, begitu juga dengan pasukan TFC II.

Mengulas pemain baharu yang akan membarisi skuad adik-beradik itu, Mohd Sabri akui sedang menilai prestasi beberapa pemain import dan tempatan untuk diserapkan ke dalam pasukan.

“Kita sedang menilai beberapa pemain tempatan dan import untuk memperkuatkan kedua-dua pasukan, tunggu masa yang sesuai kita akan umumkan nama pemain berkenaan,” katanya.

sumber : HM

Musim ini TFC II yang dibimbing Roshadi Wahab dan Sapian Wahid mencapai sasaran berada di kedudukan kedua liga di belakang pendahulu, Pulau Pinang dengan mengutip 22 mata manakala pasukan TFC berjaya menghuni di tangga ketiga sekali gus layak beraksi ke pentas Asia selepas Piala Malaysia dibatalkan berikutan wabak pandemik C0v!d-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia.