Hasrat beraksi di negeri asal tercapai

Hasrat bekas pemain kebangsaan, Syahrul Azwari Ibrahim kembali berbakti di negeri asal tercapai selepas mengikat kontrak selama setahun bersama Kelantan United Football Club (KUFC).

Pemain berasal dari Tanah Merah itu menandatangani kontrak dalam majlis ringkas di Kota Darul Naim di sini, hari ini di hadapan penasihat kelab yang juga EXCO Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Pengarah Eksekutif KUFC Sdn Bhd, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, kehadiran Syahrul memperkuatkan lagi harapan pasukannya untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dalam Liga Perdana musim ini.

Katanya, pihaknya sudah lama ingin mengikat pemain yang membuat penampilan bersama skuad kebangsaan pada 2010, 2011 dan 2015 itu selain turut mempamerkan aksi cemerlang ketika bersama Sarawak, JDT II, Melaka United dan Kedah.

“Syarul juga sudah lulus ujian kecergasan. Kita gembira berjaya mengikat beliau yang turut mendapat tawaran beberapa pasukan lain. Pengambilan pemain ini melengkapkan senarai pemain sebelum sepak mula liga bulan depan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

sumber : BH

Sementara itu, pemain berketinggian 1.75 meter itu berkata dia bersetuju menyarung jersi The Green Deers bagi perancangan masa depan selain faktor dorongan keluarga untuk pulang berbakti kepada tanah kelahiran sendiri.