Sukan

Hasrat merampas takhta tidak kesampaian

Hasrat Negeri Sembilan untuk merampas takhta Liga Perdana tidak kesampaian selepas tumpas 0-1 kepada Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, sebentar tadi.

Kekalahan itu memaksa skuad kendalian K. Devan kekal di tangga kedua dengan 23 mata, hanya satu mata di belakang Sarawak United manakala TFC II di kedudukan ketiga (22 mata).

Pertemuan kedua-dua pasukan itu berlangsung hambar sehingga minit ke-20 yang menyaksikan percubaan lencong tuan rumah, Amirul Syazwan Nor Azmi tinggi melepasi sasaran.

Peluang terbaik TFC II menjelma menerusi pertahanan tengah, Argzim Redzovic, namun tandukan pemain import itu dikeluarkan di atas garisan gol pada minit ke-35

Skuad Hoben Jang Hoben pula terpaksa menanti minit ke-43 untuk menguji pintu gol TFC II tetapi sepakan percuma Thierry Akono gagal menewaskan penjaga gol lawan.

Enam minit bersambung babak kedua, penjaga gol Negeri Sembilan, Damien Chien Khai Lim, lebih pantas menafikan rembatan deras Hairiey Hakim Mamat untuk mengekalkan kedudukan 0-0.

Serangan bertubi-tubi tuan rumah hampir membuahkan hasil malangnya tolakan Amirul Syazwan dari dalam kotak penalti sekadar menggegar palang gol pada minit ke-56.

sumber : UM

TFC II akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-66 menerusi sepakan percuma penyerang, Jordan Mintah sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan.