Hein Htet Aung ‘Assist King’ perkuat Selangor II

Bersaing di Liga Perdana bukan alasan untuk Selangor II membariskan pemain ‘tangkap muat’ saja apabila mereka jelas mahu memastikan skuad pembangunan itu memberikan tentangan hebat dengan mengambil ‘Raja Bantuan Gol Asean’ (Assist King) dari Myanmar, Hein Htet Aung.

Pemain muda berusia 19 tahun itu melengkapkan senarai awang import Selangor II dengan bersama The Red Giants sehingga musim 2023.

Sebelum ini, dia beraksi bersama naib juara Liga Perdana Myanmar Hantharwady United FC dan berjaya menjaringkan empat gol selain mencatat rekod bantuan gol tertinggi (sembilan) dari semua liga domestik Asean bagi 2020.

Pengarah Teknikal Selangor, pemain sayap kanan itu salah satu bakat muda terbaik dari Myanmar dan dia yakin Hein akan dapat menyesuaikan diri dengan DNA Selangor FC (SFC).

“Saya gembira kerana dia mahu menyertai Selangor FC kerana in peluang untuk Hein mengembangkan karier bola sepaknya. Kita bukan sahaja ingin menghasilkan bakat tempatan yang hebat untuk kejohanan Liga Super tetapi juga mahu mengembangkan bakat pemain import.

“Hein, George Attram dan Jordan Ayimbila juga akan menjadi pemain tambahan untuk slot import di pasukan utama Selangor jika diperlukan. Ini juga akan membuka ruang untuk mereka merasai pengalaman bermain bola sepak profesional di peringkat yang lebih tinggi,” katanya. Sementara itu,barisan kejurulatihan dan pegawai teknikal Selangor FC sedang menyusun rancangan terperinci untuk mempersiap skuad bagi mengharungi musim ini selepas mereka dibenarkan menjalani latihan bermula minggu hadapan.

sumber : HM

Semua pasukan SFC bermula skuad utama sehinggalah skuad belia akan memulakan latihan mereka seperti biasa pada Isnin ini sesuai dengan tarikh dan prosedur operasi standard (SOP) yang diambil oleh kerajaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).