Ia kekalahan tulen

Perak FC memang berhutang gaji dua bulan dengan pemainnya, namun itu bukan faktor menyebabkan Bos Gaurus tumpas kepada Penang FC dalam aksi terakhir Liga Super Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Sumber rapat pasukan menafikan kekalahan 2-1 itu gara-gara pemain bermain di bawah protes berikutan kemelut kewangan dihadapi.

“Memang pemain belum menerima gaji bulan Februari dan Mac tetapi ia tiada kaitan dengan kekalahan kepada Pulau Pinang.

“Ia kekalahan tulen. Pemain tidak buat-buat bagi kalah, ” kata sumber itu.

Difahamkan kemelut kewangan itu turut melanda pasukan Perak FC II.

Mengenai desas-desus Shakir Hamzah dan Azri Ghani akan meninggalkan pasukan, sumber itu mendakwa tidak mengetahui mengenainya.

Ejen kedua-dua pemain tersebut, Joe Estrada Sports Agency terdahulu memberi bayangan ‘klien’ mereka mungkin angkat kaki gara-gara tidak menerima gaji.

Bagaimanapun menurut sumber berkenaan, esok genap dua bulan Perak gagal membayar gaji pemain dan itu bermakna mereka boleh meninggalkan kelab  menerusi pembatalan kontrak dengan mengaktifkan klausa 9.7.

“Difahamkan ramai pemain sedang menunggu tarikh itu untuk membuat tindakan sedemikian. Mereka juga sedang mempertimbangkan tawaran daripada kelab lain,” katanya.

sumber : UM

Isu tunggakan gaji bukanlah isu baharu kerana pernah menghantui Perak sejak permulaan musim, namun semua pemain masih bertahan bersama Bos Gaurus.