Impian Bos baharu TRW

Impian bos baharu pasukan Kelantan, Norizam Tukiman untuk melihat nilai pasukan itu melonjak sekurang-kurangnya sehingga RM500 juta dalam tempoh lima tahun bukanlah satu sasaran yang mustahil.

Pemerhati bola sepak, Mohd Sadek Mustaffa berkata ini kerana pembelian Team Red Warriors Sdn Bhd (TRW) oleh Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham itu membolehkan dia memiliki satu lagi ‘alatan’ pemasaran yang boleh digunakan sepenuhnya bagi tujuan perniagaannya.

Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu berkata dengan adanya pasukan TRW dalam rancangan perniagaannya, ia secara tidak langsung melengkapkan lagi ekosistem dan rangkaian perniagaan yang sudah dimilikinya ketika ini.

“Sebenarnya kalau kita lihat, dia cuba bina ekosistem perniagaannya yang tersendiri dan dengan pembelian Kelantan, secara automatik dia sudah ada pasaran baharu untuk diterokai.

“Pasaran baharu ini dalam bentuk penyokong Kelantan seperti mana yang kita ketahui sememangnya begitu fanatik. Bukan membeli pasukan Kelantan semata-mata tetapi dia juga boleh dikatakan membeli ‘jiwa’ penyokong juga.

“Dengan pelbagai produk yang Zamsaham ada dalam pasaran, sudah tentu ini akan menarik penyokong Kelantan kerana wujudnya sentimen di mana kalau penyokong Kelantan beli produk Zamsaham, secara tidak langsung akan membantu bola sepak Kelantan dan TRW juga. Jadi penyokong perlulah bantu Zamsaham juga.

“Zamsaham ini adalah orang yang bijak mencipta peluang. Sebab itulah dia berani buat percaturan dan ambil ris!k0 untuk beli pasukan yang bermasalah kerana dia tahu apa yang dia boleh dapat. Saya rasa sasaran RM500 juta yang diletakkan itu memang realistik,” katanya.

Terdahulu, Norizam jelas bercita-cita besar apabila optimis nilai pasukan dan syarikat (TRW) mampu melambung sekitar RM500 juta sehingga RM1 billion sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun akan datang

“Kita akan cuba naikkan nilai syarikat mengikut perancangan lima tahun kita. Sebab sudah diswastakan jadi mesti ada nilai dan kita sasar sekurang-kurangnya RM500 juta tetapi RM1 billion pun lebih baik.

sumber : BH

“Disebabkan Kelantan kini dikuasai syarikat jadi akan ada pelbagai cabang perniagaan. Bukan sahaja daripada industri permainan dan keuntungan daripada tiket semata-mata tetapi kita akan letakkan beberapa cabang perniagaan di bawah TRW nanti,” katanya.