Isu pemain boleh sentuh pengadil, belum cukup untuk ‘menakutkan’ pengadil wanita

Pelbagai insiden membabitkan pengadil sejak Liga Malaysia 2021 membuka tirai pada bulan Mac lalu, belum cukup untuk ‘menakutkan’ pengadil wanita Nurul Ain Izatty Zainal.

Menurutnya perasaan bimbang itu bukanlah langsung tidak ada, lebih-lebih lagi memikirkan kemungkinan berlakunya situasi ditolak atau disentuh pemain-pemain lelaki, namun belum sampai tahap untuk dia berasa tidak selamat dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Gadis manis berusia 23 tahun ini mula dilantik untuk mengendalikan perlawanan Liga Malaysia bermula musim 2020 tetapi disebabkan liga berlangsung separuh musim kelibatnya tidak dapat disaksikan.

Manakala untuk musim ini dia sudahpun terlibat dalam beberapa perlawanan sebagai pemain keempat, termasuklah ketika PDRM menentang Sarawak United minggu lalu.

Penampilannya tidak dinafikan mencuri tumpuan lensa kamera dan mata-mata yang memandang.

“Pengalaman pertama kali dalam Liga Malaysia walaupun hanya sebagai pengadil keempat cukup berharga dan sangat berbeza, malah cukup mencabar.

“Sebelum ke stadium saya banyak merujuk dengan pe­ngadil senior terutama dari Negeri Sembilan.

“Sebelum ini saya banyak buat perlawanan belia dan presiden, ia memang jauh berbeza. Kalau aksi persahabatan saya pernah ada pengalaman sebagai penjaga garisan melibatkan beberapa pasukan Liga Super.

“Risau itu normal untuk semua pengadil apabila diberi tugas mengendali perlawanan. Bagi saya masih banyak yang perlu dipelajari,” katanya yang pernah diangkat sebagai Pengadil Wanita Berpotensi 2017.

Sebagai rekod, Nurul Ain Izatty mula menceburi bidang pengadilan bolasepak sejak tahun 2012 ketika dia baru berusia 14 tahun dan telah memiliki lesen pengadilan kebangsaan pada usia muda.

Sepanjang lapan tahun dia terlibat dalam dunia pengadilan, pentas tertinggi dia bertugas adalah Kejohanan AFC Bawah 16 (B-16) wanita 2016 di Laos.

“Ketika itu umur saya 17 tahun kalau tidak silap dan masih bersekolah.

“Melihat sudah ramai pe­ngadil wanita mengendali perlawanan melibatkan lelaki, saya menjadikan itu sebagai motivasi untuk turut berada di tahap itu,” jelasnya yang turut pernah menjalankan tugas di Piala Tun Sharifah Rodziah Peringkat Kebangsaan.

Penglibatannya dalam bidang ini adalah hasil galakan pengadil FIFA serta dorongan oleh bekas pemain bolasepak kebangsaan, Nur Akmal Anuar.

Minatnya yang mendalam dalam bidang pengadilan bola sepak ini turut disokong penuh oleh kedua ibu bapa dan abangnya.

Impian Nurul Ain Izatty adalah untuk menjadi sebahagian daripada barisan pegawai pertandingan perlawanan Piala Dunia suatu hari nanti.

Nurul Ain Izatty juga seorang yang berbakat besar di dalam bidang sukan antaranya taekwondo, badminton dan olahraga.

Dia pernah menjuarai Kejohanan Taekwondo National Junior 2012 dan pernah menjadi pelapis pasukan kebangsaan.

Sukan futsal juga tidak asing bagi Izatty di mana dia pernah membantu pasukannya menjuarai Kejohanan Futsal MAYC peringkat kebangsaan.