JDT berjaya tarik perhatian pemain kacukan

Masa depan bola sepak negara berada pada landasan tepat dan kehadiran beberapa tonggak kacukan termasuk Nathaniel Shio Hong Wan dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers mampu menambah kualiti H@rimau Malaya.

Malah, sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meletakkan pasukan kebangsaan dalam kelompok lima pasukan terbaik Asia menjelang tahun 2030 dilihat tidak mustahil.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, beliau menyambut baik perancangan jangka panjang FAM yang berusaha membawa pulang pemain-pemain kacukan sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, pemain seperti Brendan Gan, Natxo Insa dan Corbin Ong adalah bukti bahawa kehadiran tonggak berdarah kacukan ini mampu memberi impak yang positif kepada prestasi H@rimau Malaya.

“Dengan adanya pemain-pemain kacukan yang bermain di luar, di mana kita tahu mereka ada pertalian darah dengan Malaysia dan kita bawa balik di sini…dengan pendedahan di sana yang kompetitif dan tinggi, ini akan membantu pasukan negara sebenarnya.

“Bukan saya nak kata liga kita tak kompetitif, liga kita kompetitif juga, tapi pendedahan itu kurang. Tapi di Eropah sana lain, saingan di sana kompetitif, infrastruktur dia lain, dia punya tahap di sana tinggi.

“Jadi bila mereka main untuk Malaysia, ia suatu perkembangan dan perkara yang baik untuk skuad negara pada saya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Terdahulu, kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan sudah berjaya mendapatkan persetujuan mengikat Nathaniel yang kini beraksi dengan kelab EPL itu.

Malah sebelum itu, FAM turut menghubungi pemain kacukan yang memiliki pertalian darah di sebelah ibunya yang berasal dari Tangkak, Johor.

Sementara itu, jurulatih berpengalaman Mohd Azraai Khor Abdullah mahu banyak lagi kelab di Liga Malaysia (Liga M) mengikut jejak JDT yang berusaha dan berani menghimpunkan pemain kacukan bukan sahaja untuk manfaat mereka, malah untuk kebaikan bola sepak Malaysia.

“Bagi saya, tiada istilah bolot dalam era profesional. Bila kita usaha dan paling penting atas kemampuan, kita akan jadi yang terbaik. Kalau tengok sekarang ini, dari segi infrastruktur dan kewangan, tak ada siapa boleh tanding dengan JDT.

“Jadi mereka dalam keadaan mampu buat dan kebetulan mereka nak buat. JDT mahukan yang terbaik dan sepatutnya perlu banyak lagi kelab seperti JDT dan inilah satu pasukan yang berwawasan.

sumber : HM

“JDT berjaya tarik perhatian pemain kacukan kerana kejayaan mereka yang menyediakan kemudahan setanding kelab luar. Saya harap pasukan lain pun dapat sediakan kemudahan kelas dunia bagi menarik ramai lagi tonggak kacukan yang akhirnya beri tempias kepada pasukan Harimau Malaya,” kata Azraai.