JDT dapat, Kedah Pun sama

Ketiga-tiga penjaga gol Kedah perlu membuktikan kesungguhan masing-masing sebelum dipilih menjadi penjaga gol utama skuad Hijau Kuning dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Jurulatih penjaga gol Lang Merah, Khairul Azman Mohamed berkata, peluang sama rata akan diberikan kepada Shahril Sa’ari, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Ilham Amirullah Razali bagi membuktikan kemampuan mereka untuk layak menjadi pilihan nombor satu.

Mengenai tahap tiga penjaga gol ini masih terlalu awal untuk meletakkan kedudukan mereka, dan kita akan usahakan apa yang patut untuk kita pilih ke pilihan utama.

“Kalau kita cakap sekarang, ia masih terlalu awal dan belum tahu siapa nombor satu.

“Beri mereka peluang dulu sebab buat masa ini, semua (peluang) masih terbuka, dan bila mereka sudah tunjuk kerjasama dengan pasukan nanti, barulah kita akan bincang dengan ketua jurulatih mengenai kedudukan mereka,” katanya.

Menurut Khairul lagi, tiada pilih kasih dalam pembentukan ketiga-tiga penjaga gol berkenaan dan berharap mereka akan terus bagi kerjasama dalam melakukan aksi yang terbaik.

Khairul Azman yang pernah menjadi jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini juga melahirkan rasa bangga dan teruja selepas menerima peluang menyertai skuad Kedah.

“Pertamanya saya bersyukur dan berterima kasih kepada pengurusan KDA FC kerana sudi memberikan peluang untuk saya bersama skuad Kedah untuk musim depan.

“Perkara wajib kini adalah saya mahu mencurahkan segala pengalaman yang ada pada diri saya ke dalam pasukan Kedah dalam membentuk skuad yang baharu serba mantap.

Sumber : BH

“Jika JDT dapat apa yang saya curahkan dahulu, di sini (Kedah) pun saya akan pastikan dapat juga,” katanya.