Juara 33 kali bertemu Naib Juara Piala Malaysia 2019

Impian Melaka United untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam aksi Piala Malaysia berkecai apabila t3was 2-1 kepada Selangor dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Biarpun beraksi di gelanggang sendiri sebagai pasukan pelawat, skuad Sang Kancil gagal memanfaatkan peluang itu walaupun cuba memberi saingan kepada juara 33 kali piala keramat itu.

Beraksi di atas padang licin akibat hujan sejak petang, kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati menguasai bahagian tengah dan lebih banyak cuba memasuki kubu lawan dari arah tepi.

Skuad Sang Kancil mendapat peluang seawal minit kedua untuk memperoleh jaringan ketika situasi kucar-kacir dalam kotak penalti, namun percubaan kapten pasukan, Jang Sukwon sedikit tersasar ke kiri pintu gol.

Tersentak dengan asakan itu, Selangor mula memperkemaskan permainan dan cuba menggandakan asakan ke kubu lawan, malangnya peluang keemasan Ifedayo Olusegun pada minit ke-11 gagal menyambar kemas hantaran leret Wan Zack Haikal Wan Nor.

Selang sembilan minit kemudian, Ifedayo menebus kesilapannya apabila mudah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat hasil serangan balas bermula daripada gerakan Sandro Da Silva dan Wan Zack Haikal pada minit ke-20.

Gol tersebut berjaya menjarakkan kedudukan Selangor sehingga wisel penamat separuh masa pertama ditiup pengadil, Hamdan Awang.

Bersambung babak kedua, Melaka United cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan, namun mereka sekali lagi dikecewakan apabila Selangor berjaya menambah jaringan kedua hasil sepakan kencang Sandro yang berjaya membolosi gawang pada minit ke-51.

Pada minit ke-56, Melaka United berjaya merapatkan jurang jaringan selepas hantaran Ahmad Syamim Yahya bijak disudahkan Uche Agba yang mudah menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd. Khairulazhan Khalid.

Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Deevan Raj dan Safiq Rahim untuk menguatkan lagi barisan hadapan.

Bagaimanapun, kedudukan 2-1 kekal sehingga ke wisel penamat yang menyaksikan Selangor melangkah ke suku akhir bertemu Naib Juara Piala Malaysia 2019, Kedah.

sumber : UM

Selain tersingkir awal dalam Piala Malaysia, mereka turut sekadar menduduki tangga ke-9 Liga Super 2020.