K Devan, Zaquan menyuntik perubahan besar NSFC

Selepas gagal menyerlah musim lalu apabila sekadar menduduki tempat ke-11 di pentas Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) meletakkan keazaman tinggi untuk kembali bangkit pada musim ini dan seterusnya memburu slot ke Liga Super pada musim 2022.

Kehadiran semula bekas jurulatih yang pernah menjulang Negeri Sembilan di awal era tahun 2000, K Devan dijangka akan menyuntik perubahan besar dalam taktikal pasukan selepas mendapatkan ramai pemain berkualiti untuk memberikan nafas baharu buat skuad Hoben Jang Hoben musim ini.

Sebahagian besar peminat NSFC cukup teruja apabila bekas peny3rang kebangsaan dan anak jati Seremban Zaquan Adha Abd Radzak akhirnya kembali menyarung jersi NSFC selepas 10 tahun berkelana bersama pasukan lain.

Biarpun usia akan menjangkau 34 tahun, kelibat Zaquan akan memberikan satu dimensi berbeza terutama daripada segi motivasi pasukan serta menjadi pembimbing kepada bakat-bakat muda di NSFC.

Selain Zaquan, muka baharu seperti Muhaimin Mohamad (bekas penjaga gol Felda United FC, PJ City FC), Nasrullah Hanif Johan (bekas pertahanan Terengganu FC), Ferris Danial (bekas penyerang Melaka) dan Annas Rahmat (bekas pertahanan Melaka) selain pemain-pemain import pasti akan meletakkan NSFC selaku pencabar utama trofi Liga Perdana 2021.

Devan mengakui harapan yang disandarkan oleh pengurusan serta peminat buat masa ini begitu tinggi namun sebagai jurulatih berpengalaman yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun di Liga Malaysia, beliau sudah lali dengan situasi terbabit.

“Memang berpandukan sasaran pengurusan dan jangkaan daripada peminat, sudah pasti tekanan akan tinggi ditambah kalau kita gagal mencapai sebarang kemenangan dalam tiga atau perlawanan awal.

“Bagaimanapun, saya faham situasi ini berdasarkan keadaan Negeri Sembilan pada musim lepas dan pasukan telah banyak membuat perubahan pada tahun ini, jadi saya harapkan mereka mampu menyerlah di atas padang bagi memenuhi harapan semua.

sumber : HM

“Di dalam latihan, saya sudah dapat lihat banyak perubahan daripada segi persefahaman pemain selain kefahaman mereka dalam perubahan serta penambahbaikan taktikal yang saya terapkan,” katanya.