KAFA sedia selamatkan Kelantan FC

Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) bersedia menyelamatkan Kelantan FC jika benar kelab itu berisiko dipotong tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Naib Presiden Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid, dakwaan bahawa Kelantan FC bakal dikenakan pemotongan mata sekiranya Kafa gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya wajib ditanggung sepenuhnya oleh pihaknya.

Katanya, tidak wajar Kelantan FC dikenakan hukuman itu kerana berdasarkan perjanjian yang dicapai bersama pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman ketika membeli pasukan Red Warriors adalah segala hutang dan tunggakan ditanggung oleh Kafa.

Justeru, pihaknya bersedia mempertahankan Kelantan FC dengan merayu kepada FAM supaya hukuman itu tidak dikenakan kepada pasukan yang akan beraksi di Liga Perdana musim ini.

“Jika betul berlaku pemotongan mata kepada Kelantan FC, saya sendiri secara peribadi akan mengusulkan dalam mesyuarat nanti supaya Kafa merayu kepada FAM untuk tidak dikenakan apa jua hukuman kepada Kelantan FC, kerana ia sudah di bawah tanggungjawab Kafa sepenuhnya hutang terbabit,” katanya.

Menurut Muzakkir, tunggakan itu adalah hutang di bawah pengurusan terdahulu di mana ia baru dibuat tuntutan oleh pemain.

Jelasnya, semasa penjualan Kelantan FC, pemain terbabit tidak membuat tuntutan melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kepada FAM.

sumber : HM

“Kita akur atas apa jua keputusan daripada FAM dan hutang itu di bawah tanggungjawab Kafa,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penajaan Kafa.