KDA FC perlu kurangkan kesilapan – Aidil

Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak mahu para pemainnya sentiasa belajar daripada setiap kesilapan dilakukan dalam lima perlawanan persahabatan yang diatur sebelum bermulanya Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut Aidil, beliau melihat masih ada kesilapan-kesilapan dilakukan pemain yang boleh membawa padah kepada KDA FC sewaktu mereka bertemu Selangor II  semalam.

“Kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama namun ada beberapa kesilapan di bahagian pertahanan yang perlu diperbetulkan selepas ini.

“Di separuh masa kedua kita melakukan beberapa pertukaran pemain dan sekali lagi, kesilapan berlaku.

“Saya harap pemain-pemain ini akan belajar daripada apa yang berlaku sebelum kita memulakan saingan dengan menentang JDT pada 5 Mac depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam, Kedah berjaya mencatat kemenangan 3-2.

Mengulas lanjut, Aidil berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan perkembangan ditunjukkan pemain yang rata-ratanya dilihat memahami rentak dimahukannya dalam permainan.

“Paling penting pemain faham objektif dimahukan seperti kecergasan dan kombinasi permainan.

“Seperti saya katakan sebelum ini, keputusan tidak penting namun kemenangan sebegini sedikit sebanyak menambah moral dalam persiapan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, pertahanan baharu KDA FC, Rodney Calvin berkata, dia secara peribadi belum berpuas hati dengan prestasi dirinya sendiri biar pun berpeluang bermain selama 90 minit, semalam.

“Masih banyak perlu diperbaiki dan saya yakin jurulatih juga tahu apa yang perlu saya dan rakan sepasukan harus lakukan selepas ini.

“Diharap kami dapat terus memperbaiki keadaan dalam perlawanan-perlawanan mendatang.

sumber : UM

“Pada masa ini, kami tidak boleh lagi bersikap sambil lewa dan perlu serius dalam mempersiapkan pasukan,” katanya.