Sukan

Kemelut isu Sumareh, PBNP pasrah menunggu jawapan FIFA

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) masih menunggu jawapan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kes Mohamadou Sumareh.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Suffian Awang berkata pihaknya juga tidak mengetahui bila badan bola sepak dunia itu akan memberi jawapan mengenai perkara terbabit.

Justeru, beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membantu dalam mendapatkan titik penyelesaian kemelut yang berlarutan sejak September lalu.

“Kita sedang menanti keputusan daripada FIFA sebagaimana kita akur apa jua saranan daripada FAM menunggu keputusan FIFA. Jadi saya mohon supaya FAM dapat membantu mengenai perkara ini dan kita cari titik penyelesaian yang baik untuk kedua-dua pihak.

“Masing-masing boleh bawa haluan sendiri, kita tak mahu kemelut ini berlaku lagi. Sudah menjadi satu fenomena yang besar dalam negara bab isu Sumareh ini.

“Jadi saya nak memohon kepada FAM kalau dapat melihat keadaan ini dan kita masih lagi menunggu jawapan daripada FIFA berkaitan tindakan ke atas Sumareh.

“Kita pun tak tahu (bila boleh dapat jawapan dari FIFA), kita sudah minta, maknanya kita nak lalui proses yang betul melalui FAM kerana FAM akan mewakili badan gabungan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dilaporkan berkata pihaknya perlu menunggu keputusan daripada FIFA dan sebarang tindakan mahupun hukuman di peringkat domestik hanya akan dibuat selepas badan bola sepak dunia itu mengeluarkan keputusan berhubung laporan Sumareh terhadap PBNP sebelum ini.

Pada Oktober lalu, Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan hukuman gantung dua tahun ke atas Sumareh daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan badan induk itu.

Sebanyak empat pertuduhan terhadapnya termasuk melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 perlembagaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran PBNP.

Pertuduhan lain menyaksikan Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain di mana merujuk perkara itu terus kepada FIFA (Disppute Resolution Chamber) tanpa terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber FAM (NDRC).

Sumber : BH

Pemain skuad H@rimau Malaya itu juga didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain apabila gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama Pahang bermula 3 hingga 28 Ogos selain kesalahan gagal menghadirkan diri pada aksi Liga Super antara Pahang bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos lalu.