Kemudahan bertaraf dunia, terima kasih JDT – FAM

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin telah meluahkan rasa gembira beliau, skuad H@rimau Malaya dapat kembali berlatih selepas 16 bulan tidak bersama.

Datuk Hamidin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di atas kesudian berkongsi kemudahan yang mereka miliki untuk skuad negara menjalani latihan pusat.

“Selepas 16 bulan tidak bersama sejak November 2019, skuad H@rimau Malaya akhirnya kembali dapat dikumpulkan untuk kem latihan pusat selama sembilan hari di Johor Bahru, Johor bermula hari ini hingga ke 30 Mac 2021.

“Sudah tentu saya berasa cukup lega dan gembira kerana kita akhirnya dapat berkumpul untuk kem latihan pusat ini sebagai persiapan penting dalam menghadapi baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE, Jun nanti.

“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka dengan skuad H@rimau Malaya bagi kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini.

“Saya secara peribadi melihat ini sebagai satu lagi sumbangan JDT terhadap bola sepak Malaysia.

“Setelah membantu meningkatkan profil bola sepak Malaysia melalui pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya, kesudian pihak JDT ini akan membolehkan skuad H@rimau Malaya memanfaatkan kemudahan bertaraf dunia,” kata Datuk Hamidin hari ini.

Selain itu, Hamidin juga menyeru kelab-kelab bola sepak tempatan menjadikan JDT sebagai contoh terbaik dalam menyediakan fasiliti terbaik untuk pasukan masing-masing dan sekali gus dapat memajukan lagi tahap bola sepak negara secara keseluruhan.

“Diharap juga ia menjadi contoh kepada kelab-kelab bola sepak tempatan yang lain untuk sama-sama membangunkan pusat latihan mereka dengan kemudahan yang lengkap seperti ini.

“Pada akhirnya nanti, sudah pasti ia akan membantu dalam meningkatkan prestasi pemain, sekali gus dapat memajukan lagi tahap bola sepak negara secara keseluruhan.

“Akhir kata, saya berharap agar kem latihan pusat ini berjalan lancar seperti yang dirancang dengan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam meningkatkan lagi persefahaman dan kombinasi pemain serta meningkatkan tahap dan corak permainan pasukan untuk kita beroleh kejayaan apabila menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun nanti,” ujar Hamidin.