Ketiadaan mereka tidak menjejaskan perancangan skuad Tok Gajah

Pahang mengesahkan dua pemain utama musim ini, Faisal Abdul Halim dan Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim meninggalkan skuad itu.

Namun, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian berkata, ketiadaan dua pemain tengah itu tidak menjejaskan perancangan skuad Tok G@jah bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Kita menerima keputusan Faisal dan Nik Sharif yang berpindah ke pasukan baharu musim depan. Namun, ketiadaan mereka tidak jejaskan perancangan pasukan musim depan.

“Oleh itu, kita mendoakan yang terbaik buat dua pemain ini apabila bersama dengan pasukan baharu masing-masing,” katanya.

Difahamkan, Faisal atau Mickey berhijrah dengan sebuah pasukan dari Pantai Timur manakala Nik Sharif pula bersama pasukan dari Lembah Klang.

Biarpun jentera tengah Pahang dilihat goyah selepas kehilangan dua pemain muda itu, skuad Tok G@jah dikatakan tidak berdepan masalah untuk mengisi dua kekosongan itu.

Mengulas ketiadaan dua pemain muda berkenaan, Mohammed Suffian berkata, skuad itu percaya barisan pemain muda sedia ada Pahang mampu menyerlah seperti yang dipersembahkan Nik Sharif.

Katanya, musim depan, skuad itu akan memberikan lebih peluang kepada pemain muda Pahang untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka.

“Saya lihat beberapa pemain muda yang beraksi musim ini juga berpontensi untuk menyerlah pada musim depan.

sumber : HM

“Diharapkan mereka dapat bersaing dengan pemain lebih berpengalaman jika mahu berada dalam kesebelasan utama,” katanya.