KFA sudah bukti komitmen – Aidil Sharin

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, mendedahkan bahawa Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah membuktikan komitmen mereka dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji yang melanda pasukan itu sejak Mac lalu.

Jelasnya, walaupun KFA masih belum melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji dari Mac hingga Jun lalu, mereka sudah melangsaikan pembayaran penuh bagi bulan lalu.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan tempoh untuk setiap pasukan menyelesaikan tunggakan pembayaran gaji mereka sehingga hujung bulan ini.

Dalam satu temu bual bersama wakil Nadi Arena, Alice Harun, pengendali skuad Lang Merah itu berkata: “Buat masa ini, KFA sudah menyelesaikan pembayaran gaji bulan Julai pada minggu lalu.

“Pembayaran bagi bulan Mac pula masih belum dibayar sebanyak 60 peratus manakala baki dari bulan April hingga Jun lalu akan melalui proses rundingan.

“Insya-Allah, baki 60 peratus pembayaran bagi bulan Mac itu akan diselesaikan sebelum saingan liga bersambung.

“Memang kami sedang menantikannya dan saya percaya pihak pengurusan baru ini sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara ini.

“Mereka sudah berjanji dan Insya-Allah, kami akan menemui penyelesaian terbaik,” katanya.

Mengenai keadaan motivasi pasukannya pada ketika ini, Aidil Sharin menambah: “Syukur Alhamdulillah, semangat pasukan ini masih tinggi dan momentumnya masih ada selepas kami menerima gaji untuk sebulan.

“Saya fikir ia sesuatu yang normal dan setiap pemain dapat bernafas dan tersenyum sedikit.

“Tetapi kita tahu setiap orang masih perlu membayar bil dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“Apa yang penting, kami menerima berita seperti yang mereka (KFA) janjikan dan Insya-Allah, kami sedang menantikannya supaya apabila selepas kami bertemu PDRM dalam perlawanan pertama, kami sudah tidak perlu risau lagi mengenai tunggakan gaji.

sumber : SA

“Ia dapat membantu memotivasikan setiap pemain,” katanya lagi.