Khairul Fahmi tersenarai dalam radar TCH

Pemain Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat, teruja apabila namanya tersenarai dalam radar jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk kem latihan pusat kebangsaan bulan depan.

Dia antara 30 pemain yang akan melaporkan diri untuk kem latihan fasa pertama yang tidak melibatkan pemain utama Harimau Malaya berikutan mereka hanya akan dipanggil dalam kem latihan fasa kedua selepas itu sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tarikh penundaannya belum ditetapkan.

“Hampir dua tahun saya tidak menyertai pasukan kebangsaan.

“Selepas kali terakhir dipanggil pada 2018, saya memang berazam untuk kembali ke pasukan kebangsaan pada 2020 tetapi tiada panggilan pusat pada tahun ini.

“Kalau betul Tan Cheng Hoe beri peluang kepada saya, (maka) sasaran saya sudah tercapai.

“Apabila berada dalam skuad kebangsaan, saya akan cuba berikan saingan yang sihat untuk pasukan,” kata bekas produk Harimau Muda itu.

Tegas Apek, faktor usia tidak menghalangnya untuk memikat hati Cheng Hoe malah mengakui pengalaman luasnya sebagai penjaga gol yang boleh dikongsi bersama pemain muda.

“Pasukan negara tidak ketandusan bakat.

“Walaupun saya akan mencecah umur 32 tahun, kudrat saya masih boleh bersaing dengan pemain muda contohnya seperti penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon,” katanya, yang turut dinamakan dalam pencalonan Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020 dengan pemenangnya akan diumumkan Rabu ini.

sumber : SA