Kita tidak boleh beli pemain dan kemudian simpan

Sebuah syarikat tempatan bakal memiliki 80 peratus saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang kini dipegang Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah sebaik proses rundingan selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pemilihan syarikat yang belum didedahkan namanya lagi dibuat berdasarkan prestasi syarikat yang baik selain mempunyai kewangan yang kukuh.

“Persetujuan berhubung perkara ini sebenarnya sudah dibuat beberapa minggu lalu, dan peguam kedua-dua belah pihak sedang meneliti terma perjanjian yang akan dimeterai.

“Saya juga bertemu mereka semalam dan jika tiada aral, perkara ini akan selesai dalam tempoh dua minggu lagi. “Setakat ini saya tidak mahu lagi beri petunjuk mengenai syarikat berkenaan, namun mereka memiliki pengalaman dalam bola sepak,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Firdaus Ahmad memaklumkan MBI Kedah mengadakan perbincangan bersama sekurang-kurangnya empat syarikat bagi menjual pegangan 80 peratus saham berkenaan.

Manakala, baki 20 peratus saham KDA FC akan kekal milik KFA.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden KFA, berkata KFA sebelum ini sudah meletakkan nilai berjumlah RM30 juta untuk pasukan Hijau Kuning pada musim hadapan.

“Jika mereka mampu membayar lebih untuk membawa pemain ternama termasuk dari luar negara, itu terpulang kepada mereka.

sumber : BH

“Negeri yang maju dalam bola sepak kerana mereka ada kemampuan kewangan memiliki pemain serta jurulatih terbaik dengan tawaran gaji mahal selain penyediaan kemudahan yang banyak. “Tetapi kita tidak boleh beli pemain dan kemudian simpan, kita tidak akan buat perkara itu,” katanya.