komited memastikan Kelantan FC bebas daripada ‘diganggu’ FIFA

Pengurusan baharu Kelantan FC terus komited memastikan pasukan itu bebas daripada ‘diganggu’ Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila dalam proses menyelesaikan tuntutan bekas pemain importnya, Abou Bakr.

Penasihat Undang Undang Kelantan FC dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya sudah membuat pembayaran pertama kepada Abou Bakr sebanyak RM558,733 berdasarkan Perjanjian Penyelesaian menerusi Peguamcara Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tetuan Alawi & Associates.

Justeru, mereka hanya berdepan dengan tiga lagi tuntutan daripada badan induk antarabangsa itu dengan merancang untuk menyelesaikan semua hutang terbabit sebelum 31 Disember ini.

“Tiga kes berat di bawah FIFA membabitkan tuntutan Abou Bakr berjumlah RM978,833, Marko Kraljevic (RM902,853.88) dan Cassio Francisco de Jesus (RM340,048.26).

“Selain itu, kami akan menyelesaikan denda daripada FIFA sebanyak RM68,100,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kelantan FC memaklumkan mereka berjaya menyelesaikan tuntutan pemain dan jurulatih selain bayaran yang perlu dilunaskan kepada agensi kerajaan berkaitan.

“Sehingga kini, kami sudah menyelesaikan bayaran sepenuhnya untuk 171 pemain dan jurulatih daripada jumlah sebenar 174 orang serta bayaran kepada agensi kerajaan berkaitan yang tersenarai dalam Perjanjian Jual Beli Saham dengan KAFA bernilai RM6.8 juta,” katanya.

sumber : BH

Sebelum ini, KAFA dilaporkan menanggung hutang lapuk lebih RM7 juta yang berpunca daripada tunggakan gaji dan tuntutan daripada bekas pemain dan jurulatih pasukan itu.